Usahawan Lada Tingkatkan Ekonomi Komuniti Melalui Bantuan Sejati MADANI
- Daily Insight
- Aug 14, 2025
- 2 min read

KUNAK: Seorang usahawan lada berjaya meningkatkan ekonomi komuniti melalui bantuan geran Sejati MADANI yang diperolehi pada Disember lepas.
Dengan sifat ingin mencuba dan ingin memajukan diri sendiri, Maswan Sulad, 36, mula menanam tanaman secara kecil-kecilan akhirnya kini mempunyai kebun yang boleh menghasilkan 600 kilogram sehingga setakat ini.
“Saya rasa amat bersyukur apabila terpilih untuk menerima bantuan dalam Program Sejati MADANI kerana saya dapat memperkembangkan lagi perniagaan ini dengan memberi peluang pekerjaan kepada komuniti.
“Pada awalnya saya bermula dengan skala yang kecil dengan hanya dibantu oleh ahli keluarga sahaja namun kini saya dibantu oleh 10 orang pekerja yang mana kini kami dapat menghasilkan produk Sambal Barakunak.
"Produk ini dihasilkan sepenuhnya oleh para pekerja, bermula daripada memetik cili segar, seterusnya diproses dan dibungkus. satu proses yang mengambil masa agak panjang sebelum terhasilnya sambal dalam kuantiti yang banyak.
"Selain menghasilkan produk berasaskan lada, saya juga membekalkan lada ini ke pasar berdekatan dan Pasar Besar Tawau memandangkan permintaannya agak tinggi setiap minggu,” katanya ketika ditemui media semasa Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah di Arena Belia Kunak.
Beliau turut memaklumkan dengan bantuan dari geran Sejati MADANI, beliau turut dapat meluaskan kebun lada beliau yang kini boleh meningkatkan hasil lada sekitar 70 sehingga 80 kg dalam satu-satu masa.
Katanya, lada menjadi pilihan kerana beliau sendiri meminati makanan yang pedas selain lada dikenali sebagai pelengkap hidangan bagi penggemar lada.
"Lada merupakan tumbuhan yang agak mencabar untuk diusahakan kerana mudah terdedah kepada serangan serangga serta penyakit, terutamanya apabila berlaku cuaca yang tidak menentu.
“Saya melakukan kajian melalui pelbagai platform dan mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah serta peladang daerah kunak di mana hasilnya, kini saya menggunakan teknologi fertigasi bagi mengawal aliran air dan baja secara automatik,” jelas beliau.
Selain memastikan mutu pengeluaran lada terjaga, beliau tidak segan silu mempelajari ilmu pemasaran fizikal dan atas talian bagi memastikan produknya akan mendapat tempat di pasaran pada masa akan datang.
Sempena bulan kebangsaan, beliau sebagai Ketua Komuniti MADANI bagi Kampung Lormalong berkata penduduk kampung sangat teruja setiap kali menjelangnya bulan kebangsaan.
"Ribuan bendera telah kami pasang di hampir setiap jalan di kawasan kampung, hasil kerjasama penduduk yang sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk membeli bendera dan tiang.
“Bagi kami inilah masanya untuk kita mengibarkan bendera serta menukar bendera yang lusuh sebagai tanda cintakan negara,” katanya lagi.
Maswan turut menasihatkan anak-anak muda agar lebih berani keluar dari zon selesa kerana bagi beliau jika tidak mencuba hari ini bila lagi./Penerangan-



Comments