RM93.9 juta pembiayaan TMPSKM disalur kepada 34 koperasi di Sabah dari 2022–2026: Ewon
- Daily Insight
- 2 minutes ago
- 3 min read

17 April 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM93.9 juta pembiayaan telah diluluskan kepada 34 koperasi di Sabah melalui Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Mantan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti.
“Berdasarkan taklimat daripada Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, meskipun bilangan koperasi yang menerima kelulusan menunjukkan sedikit penyesuaian dari tahun 2022 hingga 2026, nilai pembiayaan yang disalurkan terus mencatat peningkatan yang memberangsangkan.
“Perkembangan ini mencerminkan fokus kepada pembiayaan projek yang lebih berimpak tinggi dan berskala besar, termasuk kelulusan berjumlah RM4.4 juta pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama tahun ini bagi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sabah di sini, hari ini.
Ewon yang dilantik sebagai Pengerusi baharu MPKN Sabah menggantikan Datuk Phoong Jin Zhe berkuat kuasa 2 Februari lalu, turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tuan Steven Sim Chee Kong, atas pelantikan tersebut.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat majlis ini dengan lebih kerap supaya usaha bersama pembangunan gerakan koperasi dapat digerakkan dengan lebih baik, khususnya yang melibatkan Kerajaan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat MPKN Sabah amat signifikan sebagai platform untuk meneliti serta mengangkat isu-isu koperasi di peringkat negeri sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Kebangsaan (MPKK).
“MPKN berperanan sebagai platform perbincangan isu dan pembangunan koperasi negeri, menyelaras kerjasama antara pihak berkepentingan serta mencadangkan penambahbaikan program dan dasar koperasi termasuk program latihan dan pembangunan,” katanya.
Tambah beliau, di peringkat Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), inisiatif awal telah dimulakan untuk meminda skop bantuan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri supaya turut mencakupi gerakan koperasi.
MPKN Sabah dianggotai seramai 28 ahli terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil kementerian dan agensi termasuk KUSKOP, serta wakil gerakan koperasi.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah Awg Ruslli Mohammad berkata, sektor koperasi di Sabah terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan peningkatan ketara bilangan koperasi, keahlian, modal serta penjanaan ekonomi keseluruhan.
Beliau berkata, berdasarkan analisis perkembangan tahunan, jumlah koperasi di Sabah meningkat daripada 1,652 pada tahun 2021 kepada 2,047 pada tahun 2025.
“Lonjakan paling ketara direkodkan antara tahun 2023 hingga 2024 apabila sebanyak 196 koperasi baharu didaftarkan, mencerminkan pertumbuhan aktif sektor tersebut,” katanya ketika membentangkan Tren Perkembangan Koperasi Negeri Sabah 2021-2025, pada mesyuarat MPKN Sabah
Awg Ruslli berkata, dalam tempoh sama, jumlah keahlian koperasi turut meningkat secara konsisten daripada 339,312 kepada 388,683 anggota, menghampiri angka 400,000 anggota.
“Perkembangan ini menunjukkan tahap keyakinan masyarakat terhadap peranan dan potensi koperasi yang semakin tinggi.
“Dari aspek kewangan, modal syer koperasi hampir berganda dalam tempoh lima tahun, meningkat daripada RM56.79 juta kepada RM104.34 juta. Kutipan yuran tahunan pula mencatat peningkatan stabil daripada RM161.78 juta kepada RM184.30 juta, sekali gus menunjukkan aliran tunai yang sihat dan berdaya tahan.
“Selain itu, jumlah aset koperasi Sabah mencatat pencapaian bersejarah apabila melepasi paras RM1 bilion pada tahun 2024, sebelum meningkat kepada RM1.172 bilion pada tahun 2025. Penjanaan perolehan tahunan turut meningkat hampir 100 peratus daripada RM470.84 juta pada 2021 kepada RM913.33 juta pada 2025,” katanya.
Katanya lagi, analisis indikator pertumbuhan turut menunjukkan semua komponen utama seperti modal syer, aset, keahlian dan perolehan berkembang secara selari, dengan tempoh 2024 hingga 2025 dikenal pasti sebagai fasa lonjakan kritikal sektor koperasi di negeri ini.
“Bagi permohonan bantuan pula, sebanyak 72 koperasi menerima peruntukan berjumlah RM4.96 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025, dengan peningkatan jumlah kelulusan setiap tahun.
“Dari segi tumpuan geografi, kawasan Kota Belud menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM305,000 atau 86.4 peratus daripada keseluruhan bantuan, diikuti Penampang dengan RM48,000,” katanya.



Comments