top of page

Usahawan dan koperasi terjejas banjir, tanah runtuh boleh mohon penangguhan pinjaman – Ewon

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Sep 18
  • 2 min read
ree

18 Sept 2025


KOTA KINABALU: Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh boleh memohon penstrukturan semula atau penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga maksimum enam bulan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, dasar sedia ada itu dilaksanakan di seluruh negara apabila sesuatu daerah atau negeri diisytiharkan terjejas bencana.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai tujuh agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corp Malaysia.


“Usahawan atau koperasi yang terkesan boleh memohon penangguhan pinjaman dengan syarat membuat laporan polis serta memaklumkan kepada agensi pembiayaan masing-masing.


“Contohnya, jika mereka peminjam Bank Rakyat, mereka perlu mengemukakan laporan polis dan pengesahan bahawa premis perniagaan mereka terjejas akibat bencana,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai rombongan Bank Rakyat mengaadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.


Menurut Ewon, polisi ini terpakai di Sabah khususnya di daerah yang terjejas bencana banjir termasuk Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang dan beberapa kawasan lain.


“Kita mahu membantu dan memastikan usahawan dan koperasi mempunyai ruang untuk bangkit semula selepas berdepan kerugian akibat bencana,” katanya.


Sebelum itu, Ewon meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa musibah tanah runtuh di Kg Marahang dan Kg Mook Limbahau Papar yang mengorbankan lima nyawa.


Di Kg Marahang, tragedi tanah runtuh meragut tiga ahli keluarga, manakala di Kg Mook, dua ahli keluarga turut terkorban.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bersama pimpinan parti itu hadir memberi penghormatan terakhir dan menyampaikan sumbangan takziah.


“Semoga kesatuan doa ini dapat memberi kekuatan kepada keluarga yang sedang berduka,” katanya.


Dalam lawatan sama, beliau turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Limbahau untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan itu.


Beliau merakamkan penghargaan kepada TEKUN Nasional, salah satu agensi di bawah KUSKOP atas sumbangan bakul makanan tersebut.

Comments


bottom of page