top of page

RM600,000 bantu pekerja e-hailing buka akaun KWSP di Sabah

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 2 days ago
  • 2 min read

Hajiji ketika menyampaikan ucapan.
Hajiji ketika menyampaikan ucapan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing untuk membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman KWSP.  


“Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya pada Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini, pada Sabtu.

 

Hajiji turut gembira melihat program Sabah Moto Day terus berkembang pesat, menarik kehadiran kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun ini.  


"Kehadiran ramai penunggang serta pengunjung membuktikan bahawa aktiviti permotoran masih dekat di hati golongan belia dan masyarakat umum.


“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta, tanpa mengira usia, bangsa, dan agama, yang berkumpul demi minat yang sama. Kita harus melihat himpunan ini dari sudut yang positif kerana ia boleh menyumbang, sedikit sebanyak, kepada penjanaan ekonomi negeri kita berikutan jumlah peserta dan pengunjung yang ramai sempena program ini,” ujar beliau.


Menyeru para peserta Sabah Moto Day agar mengutamakan keselamatan di jalan raya, Hajiji turut berharap himpunan itu dapat membantu meningkatkan lagi kesedaran keselamatan dalam kalangan peminat sukan permotoran dua roda.  

Hajiji turut memaklumkan kepada peserta bahawa Kerajaan Negeri melihat belia sebagai aset, justeru pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membangunkan modal insan.  


"Kerajaan Negeri pada hari ini telah membelanjakan sejumlah RM1.33 bilion termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran dari tahun 2021 hingga 2025.  


“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu. Kita komited membangunkan golongan belia yang merupakan pemimpin masa depan kita,” jelasnya.


Pada akhir ucapannya, Hajiji turut mengajak para peserta untuk sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir./Penerangan-


Comments


bottom of page