UMS Rangkul Anugerah Berprestij di Solar Week Malaysia 2025
- Daily Insight
- 10 hours ago
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Sustainability Team of the Year: Green Technology Innovation dalam Malaysia Sustainability Leadership Awards 2025 yang berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij bersempena dengan program The Solar Week Malaysia 2025 itu diberikan atas kejayaan projek inovatif bertajuk Sustainable Microgrid Framework, hasil kajian pasukan penyelidik dari Microgrid Laboratory Research Group, Fakulti Kejuruteraan UMS yang bermula sejak tahun 2023.
Menurut Prof Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Shah yang merupakan ketua bagi projek tersebut, beliau menyifatkan projek itu adalah sebuah inisiatif untuk menyokong pelaksanaan “Sustainable Green Island Framework Project” dengan mengintegrasikan teknologi tenaga boleh diperbaharui dan inovasi grid pintar.
Tambahnya, projek tersebut merupakan usaha untuk meningkatkan daya tahan tenaga serta kelestarian alam sekitar, khususnya di kawasan pulau dan luar bandar.
“Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi serta semangat kolaborasi seluruh pasukan penyelidik bersama rakan industri.
“Ini juga membuktikan komitmen UMS untuk terus memperkasa teknologi hijau dan menyokong matlamat pembangunan lestari negara,” ujarnya.
Pelaksanaan projek tersebut turut melibatkan pasukan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Irma Wani Othman, Dr. Nahiyan Al Azad, dan Ts Ir Dr. Zahari Dollah, serta mendapat sokongan padu daripada rakan industri.
Pengiktirafan UMS pada majlis penganugerahan yang turut menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, dan pakar inovasi dalam bidang kelestarian itu merupakan satu pencapaian penting dalam meletakkan UMS sebagai institusi peneraju teknologi hijau di Malaysia dan serantau.
Comments