top of page

Tun Fuad Tokoh Kemerdekaan, Harus Dikenang Masyarakat Kiulu - Joniston

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 24
  • 1 min read

ree

TUARAN: Allahyarham Tun Fuad Stephens, tokoh utama dalam sejarah kemerdekaan Sabah, merupakan individu yang wajar dikenang oleh masyarakat Kiulu atas jasa dan pengorbanannya yang besar terhadap negeri ini.


Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.15 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Allahyarham Tun Fuad pernah menjadi wakil rakyat bagi kawasan Kiulu pada tahun 1976 sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Sabah.


“Ini amat signifikan bagi kita di Kiulu kerana Tun Fuad bukan sahaja Ketua Menteri pertama Sabah, malah antara individu utama dalam proses kemerdekaan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Daerah Kecil Kiulu, di Dewan Terbuka Pekan Kiulu, pada pagi Sabtu.


Jelasnya, penamaan SMK Tun Fuad Stephens Kiulu adalah sebagai penghargaan terhadap jasa besar beliau dan harus dijadikan inspirasi kepada generasi muda hari ini.


Mengulas tema sambutan tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, beliau menegaskan ia mencerminkan keutamaan kerajaan dalam menjamin kebajikan rakyat dan menyemai nilai perpaduan, kesejahteraan serta keadilan sosial.


Joniston turut menyeru agar semangat patriotisme diperkukuh melalui tindakan, bukan sekadar semangat luaran, seiring dengan aspirasi negara untuk membina bangsa yang bersatu dan berdaya tahan.


Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan penglibatan komuniti, termasuk persembahan koir oleh 100 pelajar SMK Tun Fuad Stephens, nyanyian lagu patriotik serta aktiviti kecergasan seperti zumba bersama peserta konvoi dan warga Kiulu.


Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor merangkap Ketua Konvoi KMJG Sabah 2025, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.15 Kiulu, Golubi Guntarek, dan Pengetua SMK Tun Fuad Stephens, Zamli Mantamin./Penerangan

Comments


bottom of page