top of page

The Majulan Hotel Mercu Baharu Industri Hospitaliti, Jana Peluang Kerja Anak Tempatan

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 21
  • 2 min read

ree

KOTA KINABALU:  Mercu baharu industri hospitaliti, The Majulan Hotel menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak tempatan, di samping memperkukuhkan sektor pelancongan negeri.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexander Hugo Malakun berkata, pembukaan hotel bertaraf tiga bintang itu telah menyediakan lebih 40 peluang pekerjaan dan jumlah tersebut dijangka meningkat seiring dengan penambahbaikan fasiliti pada masa hadapan.


"Kami memberi lebih daripada 40 peluang pekerjaan dan staf-staf kami, semuanya tempatan dan semasa kami menambah baik hotel kami, kami akan menambah lagi banyak pekerjaan di hotel kami. 


"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kami ingin memberi perkhidmatan yang terbaik dan menarik lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa kerana kami di ITCC sudah mempunyai Shopping Mall, grand ballroom yang besar, office block selain hotel," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pembukaan Rasmi The Majulan Hotel yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman, di sini pada Rabu.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan negeri atas usaha memacu industri pelancongan yang kini menjadi pemacu utama ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya. 


"Terima kasih kepada usaha tanpa henti Tuan Yang Terutama Tun semasa beliau berkhidmat selama 15 tahun sebagai Ketua Menteri sebelum ini, industri pelancongan kami berkembang pesat dan meletakkan Sabah di peta dunia sebagai salah satu destinasi yang paling banyak dikunjungi di Asia Tenggara.


"Kami bertuah dan berbesar hati kerana legasi pelancongan ini diteruskan hari ini yang diketuai oleh Ketua Menteri kita, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang telah mengenal pasti pelancongan sebagai pemacu ekonomi utama di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya," tambahnya.


The Majulan Hotel yang terletak di Kompleks ITCC Penampang merupakan hotel bertaraf tiga bintang pertama di daerah itu lengkap dengan pusat membeli-belah selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama ekonomi Sabah. 


Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dengan menawarkan 163 bilik moden, pusat konvensyen serba lengkap, kolam renang infiniti dan kawasan senaman gimnasium atas bumbung dengan pemandangan panoramik Penampang , restoran yang menyajikan hidangan kegemaran Sabah dan antarabangsa serta akses terus ke dewan besar ITCC Grand Ballroom yang mampu memuatkan tetamu dengan kapasiti yang besar.

Z

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew, Pengerusi Sabanilam Enterprise Sdn. Bhd. Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun serta Pengarah, Datin Seri Panglima Sylvia Wong serta Presiden Persatuan KadazanDusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan./Penerangan-


Comments


bottom of page