top of page

Siang mengunjungi 4 kampung di Kadamaian, malam Ewon mempromosi Sabah sebagai destinasi pelaburan

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Mar 28
  • 2 min read


KOTA BELUD (28 Mac 2026): Siang turun padang mengunjungi empat kampung di Kadamaian, malam menghadiri program mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, begitulah jadual padat Datuk Ewon Benedick dalam melaksanakan tanggungjawabnya pada hari yang sama.


Komitmen itu mencerminkan peranan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dalam memastikan pembangunan akar umbi dan pertumbuhan ekonomi negeri berjalan seiring.


Pada sebelah siang, beliau menyempurnakan sambutan Pesta Kaamatan di Kampung Piak, Kadamaian Kota Belud. Sambutan ini biasanya diadakan pada penghujung Mac mengikut kitaran penanaman dan penuaian penduduk setempat.

Menurut Ewon, walaupun Kampung Piak antara kawasan terpencil di DUN Kadamaian, namun kampung itu tidak dipinggirkan daripada menerima pembangunan asas termasuk pembinaan jalan konkrit serta kemudahan dewan terbuka yang dirasmikan pada hari berkenaan.


“Sebagai ADUN Kadamaian, saya komited untuk terus membangunkan kampung ini bersama kampung lain di bawah Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035,” katanya sambil menekankan kepentingan semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.


Dalam program Turun Padang itu, beliau menziarahi beberapa keluarga di Kampung Lasau Minunsud, Kampung Lasau Lama dan Kampung Wani yang memohon bantuan Rumah SMJ.


Di Kampung Lasau Minunsud, Ewon mengunjungi keluarga yang tinggal bersama empat anak dalam keadaan serba kekurangan dan di Kampung Lasau Lama mengunjungi keluarga yang kehilangan rumah akibat kebakaran dan kini tinggal di dapur rumah asal mereka.

Di Kampung Wani pula, beliau melawat sebuah keluarga yang tinggal bersama 22 orang ahli keluarga dalam sebuah rumah, selain menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk yang memohon bantuan pembaikan rumah serta bantuan ehsan Orang Kelainan Upaya (OKU).


“Saya berharap kesemua rumah SMJ yang akan dibina tahun ini di Kadamaian, apabila siap kelak memberikan keselesaan kepada keluarga berkenaan,” katanya.


Beliau turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian bagi pembinaan tandas Dewan Terbuka Kampung Gonok serta bantuan pembaikan jalan ladang getah berkelompok di Kampung Lasau Lama.

Selain itu, beliau turut meninjau pembinaan bangunan Persekutuan Kanak-Kanak (PKK) Gereja SIB Kampung Lasau Minunsud yang masih memerlukan dana tambahan untuk disiapkan.


Pada sebelah malam, Ewon menghadiri dan menyempurnakan majlis JCI Senator ASEAN 1st Board of Directors Meeting & Installation 2026 di Kota Kinabalu.

Dalam majlis itu, beliau menyatakan rasa bangga terhadap pelantikan Patricia Poh sebagai Presiden JCI ASEAN pertama dalam kalangan wanita dari Sabah.


Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Junior Chamber International (JCI) penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan perniagaan di Sabah.


Menurutnya, kementeriannya akan terus mempergiat usaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, perindustrian dan perniagaan, termasuk melalui kerjasama strategik bersama rakan serantau.


Ewon turut mengalu-alukan kehadiran delegasi dari negara-negara ASEAN dan berharap lawatan tersebut dapat memperkukuh hubungan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi di negeri ini.


Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad yang baharu, Kevin George Ukang, menyampaikan taklimat pelaburan kepada delegasi JCI ASEAN.

Comments


bottom of page