SCENIC hargai sokongan KUSKOP perkasa SE Sabah
- Daily Insight
- 7 days ago
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), menyambut baik sokongan dan kesediaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bekerjasama memperkasa pembangunan perusahaan sosial (SE), khususnya di Sabah.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SCENIC Larainn Jaminih berkata, ini akan memberi peluang besar kepada perusahaan sosial luar bandar untuk berkembang, sekali gus meningkatkan taraf hidup komuniti.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas sokongan berterusan dalam membangunkan usahawan di seluruh negara, termasuk di Sabah.
“Kunjungan hormat SCENIC kepada Datuk Ewon bertujuan membincangkan serta memohon sokongan bagi penganjuran Rural Social Enterprise Gathering (Rural SE Gathering) 2025 yang akan diadakan pada 1 hingga 3 November ini, di Kota Kinabalu,” katanya.
Larainn berkata, program anjuran SCENIC itu bertujuan memperkasa perusahaan sosial luar bandar melalui perkongsian pengetahuan, jaringan strategik, dan kerjasama pelbagai pihak.
“Ia juga menjadi platform menonjolkan model inovatif dan penyelesaian lestari yang memberi impak positif kepada komuniti luar bandar Sabah.
“Rural SE Gathering 2025 akan menghubungkan pembuat dasar, usahawan sosial, sektor korporat, akademia, dan komuniti untuk membincangkan strategi pembangunan serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai peneraju ekosistem perusahaan sosial di Malaysia,” katanya.
Acara ini merupakan kesinambungan daripada Social Enterprise World Forum (SEWF) 2025 yang akan dihoskan di Taiwan pada 27 hingga 31 Oktober. Selepas SEWF 2025, delegasi antarabangsa dari Taiwan akan terbang ke Sabah untuk menghadiri Rural SE Gathering 2025.
Penganjur mensasarkan penyertaan sekitar 300 peserta termasuk usahawan sosial tempatan dan antarabangsa, pembuat dasar kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin industri, institusi pendidikan, NGO, serta wakil komuniti luar bandar. Forum akan menampilkan penceramah berpengaruh dari dalam dan luar negara dalam bidang perusahaan sosial, inovasi dan pembangunan komuniti.
Antara topik yang dibincangkan ialah pelancongan berasaskan komuniti, pertanian dan alam sekitar, serta pembangunan kapasiti komuniti luar bandar.
Selain itu, pameran dan jualan produk inovatif perusahaan sosial tempatan turut diadakan, diiringi lawatan ke lokasi perusahaan sosial berimpak di Sabah.
Beliau turut menyambut baik sokongan Kementerian Pembangunan UsahWan dan Koperasi (KUSKOP) memberi peluang besar kepada perusahaan sosial luar bandar untuk berkembang, sekali gus meningkatkan taraf hidup komuniti.
Baru-baru ini rombongan SCENIC mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick di pejabatnya di Putrajaya.
Comments