top of page

Satu Hari Untuk Negeri Dan Negara Kita-Masidi

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 24
  • 1 min read

ree

KOTA KINABALU: Rakyat diseru untuk memberikan masa satu hari untuk negeri dan negara kita bagi meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS).


Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengajak orang ramai agar dapat memeriahkan sambutan HKHS yang akan diadakan pada 31 Ogos depan.


"Seharusnya kita dapat memberikan masa hanya satu hari untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara dan negeri atas nikmat kemerdekaan yang telah kita capai hari ini.


"Sambutan HKHS bukannya selalu, ianya cuma sehari dalam setahun selebihnya kita boleh lakukan aktiviti harian kita seperti biasa dan terpulang pada kita untuk mengisinya" kata beliau semasa sidang media khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Sabah 2025 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi.


Ketika ditanya mengenai jangkaan kehadiran pengunjung pada hari tersebut, Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan tersebut menjelaskan mereka menjangkakan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sama seperti sambutan tahun lepas.


Menurut beliau, 157 kontinjen telah mengesahkan penyertaan dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan dalam pelbagai kategori termasuk kategori sekolah, institusi pengajian tinggi, badan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO).


Turut hadir semasa sidang media tersebut Pembantu Menteri II Kewangan Datuk Tan Lee Fat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Mansur Asun, Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Mohd Yusni Mohamed Ali, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Faradillah Abdul Rani dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa./Penerangan-

Comments


bottom of page