Rakyat Diingatkan Bahaya Media Sosial, Pertahan Perpaduan
- Daily Insight
- Aug 19
- 2 min read

TONGOD: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Tongod menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme dan mengingatkan rakyat tentang cabaran penjajahan baharu menerusi media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.57 Kuamut merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun negara bebas daripada penjajahan fizikal, media sosial kini boleh menggugat keharmonian sekiranya disalahgunakan.
"Media sosial boleh memecahbelahkan masyarakat jika digunakan menyebarkan maklumat tidak sahih. Semakin banyak kita kongsi atau komen, semakin besar keuntungan platform itu, sedangkan rakyat terdedah kepada perpecahan," katanya ketika ditemui media pada program itu di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, pada Isnin.
Beliau berkata, generasi muda paling terdedah kerana mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak pasti kesahihannya, semata-mata untuk meraih populariti di media sosial.
"Saya bimbang jika tidak berhati-hati, ini akan menjadi bentuk penjajahan baharu. Generasi muda mesti dididik menggunakan media sosial secara bijak – mencari fakta sahih dan mengelak daripada menyebarkan berita palsu," jelasnya.
Masiung menambah, KMJG bukan sahaja menyemarakkan semangat cinta negara malah memperingatkan generasi muda tentang pengorbanan pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan, yang sebahagiannya kurang diketahui oleh pelajar hari ini.
Beliau turut mengajak rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bukan hanya di kediaman masing-masing tetapi juga dihayati dalam jiwa sebagai lambang kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.
Mengenai penganjuran KMJG akan datang, Masiung berkata lokasi boleh diperluaskan ke kampung-kampung besar lain sebagai penghormatan dan usaha memperkukuh semangat patriotisme di peringkat akar umbi.
"Tahun ini diadakan di Tongod, mungkin tahun depan Konvoi KMJG boleh di Pinangah atau kampung besar lain. Bagaimanapun, perkara ini diserahkan kepada pejabat daerah dan jawatankuasa penganjur," katanya.
Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor serta Pegawai Daerah Tongod,Yuesri Ismail Yusof./Penerangan-



Comments