Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang Salur Bekalan Air kepada Penduduk Kg Timpangoh Laut
- Daily Insight
- Mar 28
- 1 min read

PENAMPANG (28 Mac 2026): Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, mengambil tindakan segera menyalurkan bantuan bekalan air kepada penduduk Kampung Timpangoh Laut, Sugud, susulan gangguan bekalan air graviti di kampung itu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata, urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang telah menghubungi Jetama Water bagi mendapatkan bekalan air minuman, yang kemudiannya dibiayai melalui peruntukan Ahli Parlimen.
Selain itu, Pusat Khidmatnya juga telah menghubungi Majlis Perbandaran Penampang bagi penghantaran bekalan air melalui lori tangki.
“Sebentar tadi, saya bersama urusetia Pusat Khidmat turun padang ke kampung ini untuk menyampaikan bekalan air minuman kepada 13 buah rumah yang terjejas.

“Saya juga dimaklumkan mengenai keperluan pemasangan semula paip ke mata air sejauh kira-kira lima kilometer yang musnah dalam kebakaran sebelum ini. Sebanyak 70 gulung paip dan dua tangki besar diperlukan oleh kampung ini.
“Saya bersetuju perolehan dan pemasangan semula paip serta tangki tersebut dibiayai melalui peruntukan khas saya sebagai Ahli Parlimen Penampang,” katanya selepas menyertai program penghantaran bekalan air ke Kampung Timpangoh Laut, Sugud, di sini, hari ini.
Ewon menegaskan bahawa beliau bersama urusetia Pusat Khidmat di Penampang dan Kadamaian akan terus memantau kesan kemarau, khususnya terhadap bekalan air di kampung-kampung, selain sentiasa berkomunikasi dengan pejabat daerah bagi memastikan tindakan susulan yang sewajarnya dapat dilaksanakan.




Comments