Projek Jeti Konkrit Seterusnya di Kampung Kuala - Armizan
- Daily Insight
- Aug 24
- 2 min read

PAPAR: Selepas Kampung Benoni, projek pembinaan jeti konkrit seterusnya akan dilaksanakan di Kampung Kuala.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika merasmikan Majlis Rahmah Madani sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan di sini, pada Sabtu.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata keperluan jeti konkrit di Kampung Kuala telah diambil maklum namun, ketika ini beliau mahu projek tebatan banjir diselesaikan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan projek berkenaan.
"Untuk orang Kampung Kuala, sabar. Sekarang ini, kita selesaikan dulu projek tebatan banjir di sana. Bila selesai, nanti kita kenal pasti di mana tempat dan harap-harap selesai segera. Kita akan runding balik sama Abang Mohamad Sabu, runding Saudara Faiz kita cari jalan macam mana kita buat jeti di Kampung Kuala," ujarnya.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan cek cura projek membina dan menaik taraf jeti nelayan dengan peruntukan RM200,000 daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil kepada Pegawai Daerah Muhammad Mohd Ali.
Menurutnya, kerja naik taraf tersebut berikutan fenomena air pasang besar yang menyebabkan kerosakan teruk jeti di Kampung Benoni pada 18 Januari lepas dan permohonan peruntukan segera telah dikemukakan beliau kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum diluluskan pada 4 Julai lepas.
Turut disampaikan, bantuan LKIM berupa pukat dan tong ikan kepada 80 orang nelayan dan penyerahan Jalur Gemilang kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seberang dan sumbangan peralatan kerusi meja Dewan Danau Kampung Benoni.
Sementara itu, Muhammad Faiz dalam ucapannya memaklumkan LKIM juga berhasrat untuk membina kompleks perikanan di Sabah sama ada di daerah Sandakan atau Semporna serta mahu semua kemudahan dapat dimanfaatkan sebaiknya.
"Kemudahan kompleks tidak seperti di Semenanjung. Kita sedang berusaha untuk bina kompleks sama ada di Sandakan ataupun di Semporna.
"Tetapi sebelum kita bina kompleks yang besar untuk daerah Papar dalam lima hingga enam bulan akan datang akan siap Jeti LKIM Konkrit di Kampung Benoni dengan jumlah peruntukan RM200,000. Kita berharap sebagai bentuk bantuan yang kita berikan dijaga elok-elok," jelas beliau.
Selain pertandingan batu seremban, mewarna, melastik serta sepak penalti, jualan rahmah turut berlangsung di Dewan Kampung Seberang dan dimanfaatkan lebih kurang 5,000 pengunjung untuk membeli barang dapur./Penerangan
Comments