top of page

Penangguhan bayaran 40 peratus: Rakyat Sabah kecewa, keadilan terus tertangguh

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 5 days ago
  • 1 min read


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang, menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan arahan pembayaran 40 peratus hak Sabah sebagai sesuatu yang amat mengecewakan rakyat negeri ini.


Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja melibatkan aspek perundangan, malah turut menyentuh soal keadilan, maruah serta hak wilayah Sabah yang sekian lama diperjuangkan.


“Sememangnya kita menghormati keputusan mahkamah sebagai institusi tertinggi dalam menegakkan undang-undang.


“Namun, perkara ini perlu dilihat dari sudut lebih luas dan dinamik, khususnya dalam konteks sejarah penubuhan Malaysia, semangat Persekutuan serta hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Felix menegaskan bahawa hak Sabah bukanlah satu ihsan, sebaliknya merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan dan dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.


Beliau berkata, penangguhan terhadap keputusan yang sebelum ini memihak kepada Sabah memberi gambaran bahawa kepentingan serta suara negeri itu masih boleh diketepikan.


“Dari sudut politik, situasi ini menguji keikhlasan dan komitmen kepimpinan Persekutuan dalam menunaikan janji kepada Sabah, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan MA63.


“Ia juga menjadi peringatan kepada kepimpinan negeri agar terus bersatu dan tegas dalam mempertahankan hak Sabah tanpa kompromi,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru agar semangat wilayah Sabah terus diperkukuh dalam kalangan rakyat serta menegaskan bahawa perjuangan tersebut bukan hanya terletak di bahu pemimpin.


“Ia merupakan tanggungjawab bersama demi memastikan masa depan negeri yang lebih adil, seimbang dan bermaruah dalam Persekutuan Malaysia,” tegasnya.

Comments


bottom of page