PEGIM adakan kunjungan hormat kepada Menteri KUSKOP
- Daily Insight
- Sep 5
- 1 min read

KUALA LUMPUR (5 Sept): Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM) di pejabatnya, semalam.
Dalam pertemuan itu, Ewon bersama wakil PEGIM membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran yang dihadapi koperasi dalam menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu serta usaha memperluaskan rangkaian perkhidmatan tersebut.
Menurut Ewon, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini berada di peringkat akhir menyiapkan pindaan Garis Panduan berkaitan aktiviti Ar-Rahnu koperasi.
“Kerjasama antara pemain industri pajak gadai Islam Ar-Rahnu, SKM dan KUSKOP diyakini mampu memperkukuh serta memajukan perkhidmatan kewangan mikro kredit di negara ini,” katanya.

Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS), yang juga ahli PEGIM, turut menjadi wakil dari Sabah dalam pertemuan tersebut.
Hadir sama ialah Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit; Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui; serta Pengerusi PEGIM merangkap CEO Rakyat Management Services Sdn Bhd, Haji Azwani Assad.
Azwani turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas kesudian menerima kunjungan rombongan PEGIM, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan beliau mampu melonjakkan lagi pembangunan perniagaan dan perkhidmatan Ar-Rahnu di negara ini.

Comments