Mutiara GRS Sumbang Dana RM10 Ribu Kepada PCAK
- Daily Insight
- 2 days ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS) terus menunaikan tanggungjawab kebajikan dengan menyumbangkan dana RM10,000 kepada Palliative Care Association (PCAKK), Kota Kinabalu.
Yang Di-Pertua Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata Mutiara GRS kunjungan ke pusat PCAKK tersebut bertujuan untuk menyampaikan sumbangan sebagai sokongan kepada aktiviti organisasi yang menyediakan penjagaan paliatif kepada pesakit yang memerlukan dalam menceriakan kehidupan pesakit.
"Pada pagi ini, Mutiara GRS melawat pesakit-pesakit kelolaan paliatif di Kota Kinabalu untuk menyampaikan sedikit sumbangan untuk membantu paliatif ini dalam aktiviti-aktiviti mereka sedikit sebanyak lah.
"Mudah-mudahan apa yang kami serahkan di sini pada hari ini akan dapat menceria anak-anak yang dikelolakan oleh paliatif di sini,"katanya ketika ditemui media selepas mengadakan ziarah Amal Mutiara GRS ke Pusat Palliative Care Association, Kota Kinabalu Sabah, di sini pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan Mutiara GRS akan terus meneruskan misi khidmat mereka menerusi aktiviti ziarah dan penyantunan dalam komuniti di Sabah termasuk kawasan pedalaman.
"Esok kami akan ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tanjung Aru. Itu juga melawat keluarga dan kanak-kanak yatim yang kehilangan ibu bapa dalam kejadian kemalangan jalan raya.
"Pada 21 Ogos nanti, kami akan ke kawasan pendalaman (Daerah Telupid) untuk menjalankan kebajikan kami di sana iaitu Ziarah Amal gabungan tiga kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digabungkan.
"Alhamdulillah, setakat ini beberapa kawasan ADUN telah diberi perhatian dengan jumlah penerima bantuan melebihi 50 orang setiap kawasan, serta penyertaan lebih daripada lima PPDK di lokasi pelaksanaan," ujarnya.
PCAKK, yang ditubuhkan sejak beberapa dekad lalu, bergantung kepada sumbangan masyarakat dan organisasi untuk menampung kos operasi bulanan yang mencecah sekitar RM40,000.
Organisasi tersebut turut menyediakan perkhidmatan penjagaan di rumah, termasuk kawalan simptom, latihan kepada penjaga utama, serta peminjaman peralatan perubatan kepada pesakit yang memerlukan.
Dalam majlis sama, Mutiara GRS turut menjayakan sambutan hari lahir kanak-kanak Hazira Azilan, 9, yang menghidap penyakit paru-paru idiopatik dan GERD. Seorang lagi individu yang diraikan ialah Net Modili, 58, merupakan pejuang kanser payudara sejak umur 43 tahun.
Turut hadir pada program tersebut Naib Yang Dipertua II Datin Seri Panglima Linda Ewit, Naib Yang Dipertua III Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi serta Presiden PCAKK, Datuk Jaswant Singh./Penerangan-
Comments