Menjaga Keharmonian Negara Tanggungjawab Bersama - Jonnybone
- Daily Insight
- 2 days ago
- 2 min read

TELUPID: Menjaga keharmonian negara merupakan tanggungjawab semua rakyat berbilang kaum.
Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Jonnybone J Kurum berkata rakyat yang pelbagai etnik dan agama bukan penghalang kepada keharmonian kehidupan masyarakat di negara ini.
"Marilah kita jaga keharmonian, marilah kita jaga negeri kita ini, marilah jaga negara Malaysia kita ini supaya Malaysia kita ini bukan sahaja maju tetapi juga terpelihara perpaduan dan juga kesatuan rakyatnya meskipun mempunyai banyak etnik dan pelbagai agama tapi kita hidup harmoni dalam negara kita Malaysia.
"Keharmonian negara kita ini adalah tanggungjawab bersama dan saya percaya Jabatan Penerangan merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk menyebarluas maklumat kepada masyarakat kita mengenai betapa pentingnya perpaduan dan juga keharmonian.
"Begitu juga dengan agensi-agensi lain yang ada pada malam ini seperti Polis, JPJ, bomba, Rela dan sebagai nya turut bersama-sama terlibat menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat, " ujarnya ketika berucap merasmikan program JIWA @ Komuniti Madani: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Pekan Telupid, pada Ahad.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 47 Telupid menzahirkan ucapan terima kasih Jabatan Penerangan kerana menjadikan Telupid sebagai persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).
"Terima kasih kepada Jabatan Penerangan dan konvoi KMJG kerana memilih Telupid sebagai persinggahan menyemarakkan kemerdekaan.
"Inilah daerah Telupid, ada air terjun di Rainforest Tawai ada kawasan penternakan rusa, tahniah dan terima kasih kepada konvoi KMJG yang tak jemu-jemu menjelajah ke seluruh daerah membawa semangat kemerdekaan melalui Jalur Gemilang," katanya.
Dalam program itu, seramai kira-kira 100 orang hadir memeriahkan semarak kemerdekaan terdiri dari Komuniti Madani Pekan Telupid serta peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG).
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Telupid Nasrul Omar dan Ketua Balai Polis Telupid SM Khairul Anuar Ariffin.
Comments