Malaysia Pacu Kepimpinan Serantau Dalam Keselamatan Sinaran
- Daily Insight
- Aug 19
- 3 min read

KOTA KINABALU: Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran di peringkat serantau menerusi Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025).
Persidangan edisi ke-28 itu membawa tema “Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection” dengan menekankan keselamatan sinaran sebagai asas utama bagi menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata keselamatan sinaran bukan sekadar pilihan, sebaliknya keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan atau keselamatan.
"Dalam era teknologi moden, kini penggunaan sumber radiasi tidak dapat dielakkan sama ada dalam sektor perubatan, pertanian, industri, penyelidikan mahupun keselamatan negara.
"Oleh itu, aspek perlindungan sinaran (radiation protection) menjadi teras utama dalam memastikan setiap aplikasi teknologi ini dikawal selia secara selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia serta alam sekitar.
"Namun, persepsi masyarakat terhadap teknologi nuklear masih menjadi antara cabaran utama dalam usaha negara untuk memajukan bidang ini.
Walaupun teknologi nuklear telah terbukti membawa pelbagai manfaat, kekhuatiran terhadap aspek keselamatan dan risiko radiasi masih menebal dalam kalangan masyarakat umum.
"Maka, menjadi tanggungjawab bersama pihak kerajaan, industri, akademia dan pertubuhan profesional untuk memperbetulkan persepsi ini dengan pendekatan komunikasi yang inklusif, telus dan berasaskan fakta sains," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Radiation Protection Conference dan Workshop 2025 di sini, pada Isnin.
Persidangan terbabit turut menghimpunkan 120 peserta terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan profesional teknikal hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dengan sokongan Jabatan Tenaga Atom.
Dalam pada itu, Yusof turut menyeru semua pihak agar memberi sokongan padu kepada peranan Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) dan Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) yang merupakan tunjang pelaksanaan keselamatan di premis masing-masing.
"Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pematuh undang-undang, malah menjadi pemimpin dalam pelaksanaan pemantauan, pengurusan risiko dan pembangunan budaya keselamatan di organisasi masing-masing.
"Kejayaan pengurusan keselamatan sinaran bukan sahaja disandarkan kepada peraturan, undang-undang dan garis panduan yang komprehensif tetapi kepada tahap profesionalisme, integriti serta kecekapan teknikal individu yang bertanggungjawab melaksanakannya.
"Justeru, saya menyeru agar semua pihak industri memberi sokongan padu kepada peranan RPO, OBTL dan semua pengamal sinaran melalui penyediaan latihan berterusan, sumber yang mencukupi serta pengiktirafan sewajarnya terhadap amanah profesional yang mereka galas," katanya.
Menurut beliau, MOSTI komited melahirkan pakar menerusi kerjasama institusi pendidikan dan industri yang berupaya memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negara.
"Melalui kerjasama menyeluruh di antara penggubal dasar, pengawal selia dan pelaksana industri, kita dapat memastikan teknologi sinaran terus digunakan secara selamat, bertanggungjawab dan bermanfaat kepada kemajuan negara.
"Menurut Laporan Atom Malaysia 2023, negara merekodkan lebih 31,000 pekerja sinaran dan hampir 2,000 lesen aktif tanpa sebarang insiden radiologi dan pencapaian ini mencerminkan tahap kecekapan kawal selia dan profesionalisme industri di Malaysia.
"Malah, sumbangan pekerja sinaran turut memberi nilai ekonomi melalui sokongan kepada ekosistem perubatan bernilai tinggi serta memperkukuh sektor minyak dan gas menerusi ujian tanpa musnah (NDT) yang menjamin kualiti, mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan daya saing industri," dedah beliau.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, ujar beliau, Malaysia bertekad memacu kerjasama serantau dalam keselamatan sinaran, pengurusan bahan radioaktif dan kesiapsiagaan kecemasan nuklear melalui platform seperti ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM), ASEAN Nuclear Power Safety Research (ASEAN NPSR) dan ASEAN Nuclear Leaders for Energy Transition (ANLET) dan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).
“Tahun ini adalah masa terbaik untuk Malaysia menunjukkan kepimpinan dalam pembangunan teknologi nuklear aman yang selamat dan bertanggungjawab di peringkat serantau,” tambahnya.
Beliau berharap RPCW 2025 menjadi pemangkin kepada inisiatif baharu, penemuan saintifik dan kerjasama strategik sekali gus memperkukuh pemahaman, kemahiran dan jaringan antara pengamal sinaran dan pembuat dasar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh rantau ASEAN./Penerangan-



Comments