top of page

Lori Hilang Ditemukan Polis Ketika Rondaan di Tawau

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 6 days ago
  • 1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns


TAWAU (7 April 2026): Sebuah lori Isuzu yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan oleh polis dalam keadaan ditinggalkan di kawasan Kampung Titingan, Tawau, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, lori tersebut ditemukan sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 1.15 petang.


"Lori itu ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan. Pasukan polis membuat pemerhatian selama kira-kira sejam bagi mengesan individu yang menghampiri kenderaan berkenaan, namun tiada seorang pun tampil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pemeriksaan lanjut mendapati satu alat kawalan jauh bertulis Isuzu bersama anak kunci diletakkan di dalam lori tersebut. Hasil semakan mengesahkan laporan kehilangan lori itu telah dibuat baru-baru ini di Balai Polis Tawau.


Lori bersama alat kawalan jauh itu telah dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.


Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan diparkir di tempat selamat serta mengambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian kecurian.

Comments


bottom of page