KUSKOP teruskan program penerangan e-Invois untuk PMKS
- Daily Insight
- Aug 14
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneruskan program penerangan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi bagi meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan sistem e-Invois.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata program tersebut telah dilaksanakan sejak 2024 oleh agensi-agensi KUSKOP, khususnya SME Corp Malaysia, dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga menganjurkan seminar Usahawan MADANI e-Invoice di beberapa lokasi di Semenanjung, Kota Kinabalu, dan Kuching.
“Saya percaya proses ini memerlukan masa, dan kami akan terus mempergiat program bersama LHDN bagi memberi penerangan serta menggalakkan PMKS menggunakan e-Invois.
“Namun, saya tidak menafikan ini adalah kebimbangan besar, terutamanya dalam kalangan usahawan kecil dan mikro, walaupun sebahagian besar mereka dikecualikan kerana nilai jualan tahunan tidak melebihi RM500,000,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya, yang bertanya sama ada KUSKOP menyediakan pendidikan, latihan, dan bimbingan pelaksanaan e-Invois kepada usahawan.
Menurut Muslimin, kajian SME Malaysia 2025 mendapati lebih 55% PKS masih belum bersedia untuk beralih daripada sistem manual kepada e-Invois, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan. Faktor utama termasuk peningkatan kos pematuhan, keperluan pelaburan dalam perisian perakaunan bersepadu, latihan pekerja, penyesuaian proses kerja, serta risiko penalti sekiranya gagal mematuhi peraturan.
Ewon berkata, kebimbangan tersebut sememangnya sering dibangkitkan usahawan PMKS setiap kali beliau dan kementerian turun padang mengadakan sesi libat urus.
“Atas sebab itu, kita turut terlibat dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan, dan telah diputuskan bahawa PMKS dengan nilai jualan tahunan RM500,000 ke bawah akan dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois,” katanya.
Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu yang bertanya bagaimana kementerian memastikan pelaksanaan e-invois supaya tidak membebankan PMKS, khususnya mereka yang berada di luar bandar, yang kurang celik digital atau tidak mempunyai akses internet yang stabil.
Ewon berkata: “Kita mengambil maklum cabaran pelaksanaan e-invois dari sudut praktikal, khususnya di luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet stabil”,
“Ini merupakan isu teknikal yang memerlukan perhatian serius, terutamanya bagi usahawan luar bandar di Sarawak, sebahagian kawasan di Sabah, dan juga di Semenanjung, yang memerlukan usaha meningkatkan akses internet sebagai faktor utama kejayaan pelaksanaan e-invois.
“Dalam masa yang sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memberi jaminan bahawa sekiranya usahawan menggunakan sistem yang disediakan oleh pihak mereka, ia adalah percuma,” katanya.
Ewon berkata, kementerian akan melaksanakan program berterusan bagi memberi penerangan dan bimbingan kepada usahawan PMKS.
“SME Corp Malaysia dan INSKEN merupakan antara agensi kementerian yang aktif menggerakkan sesi penerangan ini di seluruh negara bagi memastikan usahawan PMKS memahami dan bersedia melaksanakan e-invois,” katanya.
Comments