Kuasa Perundangan Perikanan Sabah Perlu Dikembalikan
- Daily Insight
- 7 days ago
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan Sabah dalam bidang perikanan laut dalam terutamanya dari segi kuasa perundangan, pembuatan dasar dan pembangunan infrastruktur di wilayah itu.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Perikanan 1985 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa walaupun Sabah menyumbang hampir 25 peratus daripada keseluruhan pengeluaran ikan negara, wilayah itu tidak mempunyai sumber kuasa untuk mengurus sendiri industri perikanannya.
"Sabah tidak mempunyai ordinan ataupun Enakmen Perikanan untuk membuat dasar dan merancang pembangunan industri perikanan laut dalam yang diperlukan untuk mengangkat sektor industri tersebut ke arah keterjaminan makanan negara.
"Kuasa seperti ini sangat kritikal kerana Sabah beroutonomi dalam hal perikanan dengan Jabatan Perikanan Sabah sebagai sistem penyampai utama," katanya.
Menurut Madius, Sabah kehilangan kuasa menggubal dasar dan merancang pembangunan industri perikanan sejak Ordinan Perikanan Sabah 1963 dimansuhkan pada tahun 1972.
“Jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, industri ini sebenarnya berada dalam senarai bersama antara kerajaan Sabah dan Persekutuan.
“Sebagai makluman, sejak penggantian ordinan tersebut dengan Akta Perikanan 1985, Sabah bergantung sepenuhnya kepada dasar dan undang-undang yang digubal di peringkat Persekutuan sedangkan Jabatan Perikanan Persekutuan Semenanjung tidak beroperasi di Sabah.
“Hal ini menyukarkan Sabah untuk merancang pembangunan perikanan yang lebih sesuai dengan keperluan setempat, khususnya dari segi bajet dan kemudahan,” ujar Madius
Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut menegur kekurangan kemudahan pendaratan ikan di Sabah.
Buat masa ini katanya, hanya Kota Kinabalu memiliki kompleks pendaratan ikan, manakala kawasan lain seperti Tuaran, Kudat, Sandakan, dan Semporna masih kekurangan kemudahan asas.
“Ini jauh keterbelakang berbanding 42 kompleks pendaratan ikan yang ada di Semenanjung dan lima di Sarawak.
“Oleh itu, demi penyelarasan perundangan, dasar, strategi, program dan bajet memajukan industri perikanan, saya juga mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Majlis Perikanan Negara, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II dan melibatkan Ketua Menteri dan juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah; Premier dan Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perikanan di Sarawak; dan kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.
“Majlis ini boleh menjadi platform untuk menyelaras dasar, strategi undang-undang dan bajet supaya Sabah dan Sarawak tidak terus terpinggir,” tambah Madius.
Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia itu turut mengulangi cadangan penubuhan majlis tersebut semasa mencela sesi perbahasan Ahli Parlimen Keningau merangkap Menteri MAFFI Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery Gapari Kitingan di sini hari ini.
Dalam pencelaannya Madius memaklumkan, penubuhan Majlis Perikanan Kebangsaan tersebut mampu memperkukuh industri perikanan di Sabah dan memastikan sumbangan besar Sabah terhadap bekalan makanan negara diiktiraf dan disokong sewajarnya.
Comments