top of page

Kita Jaga Sabah’ Seruan Kekalkan Keamanan, Kemakmuran-Hajiji

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Sep 12
  • 2 min read
ree

KOTA KINABALU: Video muzik 'Kita Jaga Sabah' disifatkan sebagai simbol perpaduan rakyat negeri ini dalam memastikan keamanan, pembangunan dan kemakmuran terus terpelihara.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pelancaran rasmi video muzik berkenaan membuktikan bakat anak Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah membangkitkan semangat cintakan negeri.


“Apabila kita menyebut Kita Jaga Sabah, ia bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan, kita semua mesti memikul tanggungjawab menjaga negeri ini,” katanya ketika merasmikan Tayangan Perdana Media dan Pelancaran Video Muzik Kita Jaga Sabah, pada Khamis.


Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada penerbit, Farish Aziz, yang menghimpunkan barisan artis tempatan terkenal termasuk Stacy, Elica Paujin, Feroq, Dabra Sia, Miba, Anip dan Nvuel, selain komposer Anas Amdan.

ree

Katanya, penghasilan video muzik itu membuktikan seni dan budaya merupakan medium berkesan dalam menyatukan masyarakat serta menjadi wadah anak muda menyalurkan aspirasi mereka secara positif.


“Video muzik ini jelas menunjukkan belia Sabah bukan sahaja berbakat, malah berjiwa besar. Mereka mahu melihat negeri ini terus maju dan bersedia menyumbang ke arah perubahan,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau memuji penganjuran Tamu Suara 360 oleh Majlis Belia Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan yang membuka ruang kepada anak muda menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri.


“Anak muda kita bukan sahaja ambil tahu, malah ambil peduli tentang pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan hala tuju Sabah. Inilah semangat kepedulian yang perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.


Hajiji menegaskan, usaha membina Sabah yang makmur dan berdaya saing memerlukan pengorbanan serta kerjasama semua pihak.


“Dengan semangat Kita Jaga Sabah, saya yakin kita mampu melahirkan negeri yang maju, kaya budaya, harmoni dalam perpaduan dan inklusif untuk semua rakyat,” katanya sambil menyeru seluruh rakyat, khususnya belia, terus menjadikan semangat itu sebagai landasan membina negeri./Penerangan-

Comments


bottom of page