Kibaran Bendera Lambang Perpaduan - Jainisah
- Daily Insight
- Aug 15
- 2 min read

LAHAD DATU: Kibaran bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah merupakan suatu simbol yang menunjukkan perpaduan di kalangan rakyat.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor berkata walaupun rakyat Malaysia khususnya di negeri ini terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya namun kibaran bendera Jalur Gemilang di rumah atau premis kita menunjukkan kita berpadu di bawah satu bendera yang sama.
"Rakyat Malaysia khususnya di Sabah ini terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya yang menjalani kehidupan secara bersama.
"Namun di sebalik kepelbagaian ini kita berkongsi satu tekad dan semangat yang sama, yang mengalir dalam nadi setiap seorang daripada kita.
"Satu hati, satu matlamat sekalipun kita berlainan suku kaum dan budaya namun kita mahukan kemakmuran dan kesejahteraan yang sama di bawah bendera yang sama.
"Setiap kibaran bendera Jalur Gemilang yang kita lihat hari ini, setiap bendera yang berkibar megah di tanah ini, adalah peringatan bahawa kita semua adalah satu," katanya lagi semasa berucap merasmikan program Karnival Jiwa Madani @ Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) & Hari Sabah, Sahabat Maritim X Borneo Food Fest Santuni Felda di Tapak Ekspo Felda Sahabat.
Jainisah yang juga ketua konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Negeri Sabah berkata program dengan kerjasama semua pihak ini bukan sekadar sebuah slogan tp merupakan satu janji menyantuni rakyat yang ditunaikan.
"Program Jiwa Komuniti : Hari Kebangsaan Hari Malaysia, Santuni Felda ini dan KMJG 2025 adalah bukti nyata bahawa semangat perpaduan ini bukan hanya slogan tetapi ianya adalah tindakan dan jambatan yang menghubungkan hati ke hati.
"Melalui program ini, kita melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana agensi-agensi kerajaan tidak pernah jemu mendekati rakyat, membawa perkhidmatan terus ke pangkuan komuniti, inilah makna sebenar rakyat disantuni.
"Ini adalah janji yang ditunaikan, janji untuk memberikan yang terbaik buat rakyat di bandar hingga jauh di pedalaman," tambah beliau.
Sejumlah 21 agensi terlibat termasuklah Perpustakaan Bergerak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sabah Electricity, Askar Wataniah serta beberapa institusi perbankan hadir memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Felda melalui program ini.
Turut hadir semasa perasmian program itu Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N60 Tungku Momen Anghai@Anchai./Penerangan-



Comments