Ketua Hakim, Ketua Polis Negara Dahului Senarai Penerima Pingat
- Daily Insight
- Mar 31
- 2 min read

KOTA KINABALU (30 Mac 2026): Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Panglima Mohd Khalid Ismail mendahului senarai 90 penerima Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Negeri Sabah.
Wan Ahmad dan Mohd Khalid menerima darjah kebesaran tertinggi, Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman semasa Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Sementara itu, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris mendahului senarai 33 penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) disusuli Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Shamshor Jaafar.
Turut menerima P.G.D.K ialah Ketua Konservator Hutan, Datuk Zulkifli Suara, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pula mendahului penerima Jaksa Pendamai (J.P) bersama lima penerima lain antaranya peguam, Datuk Ram Singh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dr Ahemad Sade.
Selain itu, seramai 16 individu menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K), 13 penerima Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K), lapan individu menerima Bintang Setia Kinabalu (B.S.K), 10 penerima Bintang Kinabalu (B.K) dan dua penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T).
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan./Penerangan



Comments