top of page

Keselamatan pelajar keutamaan mutlak, sekolah mesti kekal neutral politik - Pemuda PH

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 7 days ago
  • 1 min read

Dari kiri- Arief, Esham dan Rayner
Dari kiri- Arief, Esham dan Rayner

TUARAN: Exco Pemuda Pakatan Harapan (PH) Tuaran menegaskan bahawa keselamatan pelajar perlu menjadi keutamaan mutlak dan sekolah mesti kekal neutral daripada sebarang pengaruh politik.


Kenyataan itu dibuat susulan isu melibatkan seorang pelajar di Papar yang tular baru-baru ini, sekali gus mendapat perhatian umum dan respons daripada Menteri Pendidikan Malaysia yang mengingatkan pihak luar agar tidak mengganggu guru.


Menurut laporan media, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menempatkan sementara kakitangan sekolah terbabit ke Jabatan Pendidikan Negeri sementara siasatan dijalankan. Langkah ini dilihat sebagai prosedur interim yang tepat, namun Exco Pemuda Pakatan Harapan Tuaran berpandangan bahawa pembaharuan menyeluruh diperlukan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.


Antara cadangan yang dikemukakan termasuk penghapusan budaya membuli di sekolah, penambahbaikan fasiliti untuk keselamatan dan kebajikan pelajar, penempatan warden atau pengawal keselamatan terlatih yang bukan daripada kalangan guru, pemantapan saluran aduan serta dasar perlindungan pelajar yang telus, dan pelaksanaan program kemanusiaan bagi membina budaya saling menghormati di komuniti sekolah.


“Guru berperanan membentuk generasi masa depan, justeru kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan ini agar sekolah kekal sebagai tempat yang selamat, adil dan kondusif untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan bersama itu.


Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Pemuda AMANAH Sabah, Esham Tarmizi; Ketua Angkatan Muda Keadilan Tuaran merangkap Pengarah Komunikasi AMK Sabah, Arief Hambali J. Indan; serta Ketua Pemuda UPKO Tuaran merangkap Exco Pemuda UPKO Malaysia, Rayner Ebi.

Comentarios


bottom of page