top of page

Kerajaan Negeri Perkasa Agenda Menangani Masalah Kemiskinan

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 14
  • 1 min read
ree

RANAU: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah memperkasa agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar menerusi program pembangunan bandar baharu.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata projek Pekan Baharu Paginatan yang telah lama dinantikan dijangka akan memacu ekonomi tempatan di kawasan itu.


"Selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang pada intinya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.


"Bandar baharu seluas 200 ekar yang terletak kira-kira 43 km dari sini akan dibangunkan dalam lima fasa, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.


“Apabila siap kelak, penduduk di Paginatan tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Pekan Baharu Paginatan di Dewan Terbuka Memorial Nunuk Ragang, di sini, pada Selasa.


Hajiji turut memberi jaminan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir akan diberi perhatian.


Dalam pada itu, beliau berkata sejarah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan negeri itu memerlukan hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.


“Kita mahu hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan dan berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk mereka, bagi membawa kemakmuran,” jelasnya.


Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah.



Comments


bottom of page