top of page

Kejohanan Piala Pesuruhjaya Polis Sabah 2026: Polis Marin W4 Rangkul Gelaran Juara

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 6 days ago
  • 1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns


KOTA KINABALU (7 April 2026) – Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Pesuruhjaya Polis Sabah 2026 selepas menewaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat 1–0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), ahad lalu.


Kejohanan yang berlangsung dari 1 hingga 5 April 2026 itu dianjurkan oleh Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah di bawah seliaan Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Datuk Ahsmon Bajah, Ketua Jabatan Pengurusan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.


Seramai 12 pasukan daripada seluruh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Pasukan Polis Marin menyertai kejohanan ini.


Pada aksi final, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya menjaringkan satu gol tunggal untuk memastikan kemenangan ke atas IPD Kudat. Sementara itu, tempat ketiga dikongsi bersama oleh IPD Kota Kinabalu dan IPD Labuan.


Sebagai acara sampingan, satu perlawanan persahabatan antara pasukan yang diwakili Pesuruhjaya Polis Sabah dan Timbalannya serta Ketua-Ketua Jabatan/Formasi menentang pasukan Ketua-Ketua Polis Daerah menyaksikan kemenangan 3–0 berpihak kepada pasukan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Polis (CP) Datuk Jauteh Dikun.


Turut hadir Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah,Datin Nurhayatie Farhana Addullah, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Polis (DCP) Abdul Rani Alias, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Rusnah Zakaria,serta Ketua-Ketua Jabatan/Formasi, Ketua-Ketua Polis Daerah, pegawai kanan dan pegawai rendah polis, serta pegawai awam Polis Kontinjen Sabah.


Kejohanan ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di samping menjadi platform mengeratkan silaturahim.



Comments


bottom of page