Karnival UDA Bersama Bizfrancais Pernas buka peluang perniagaan, perluas pasaran usahawan tempatan
- Daily Insight
- 5 days ago
- 2 min read

PENAMPANG (16 Ogos): Karnival UDA Bersama Bizfrancais Pernas membuka peluang perniagaan dan memperluaskan pasaran usahawan tempatan.
Karnival itu yang diadskan di Buhavan Square Penampang, dianjurkan UDA Holdings Berhad (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini.
Kira-kira 70 usahawan tempatan daripada pelbagai sektor dengan sasaran jualan keseluruhan RM4.25 juta sepanjang tiga hari penganjuran.
Daripada jumlah itu, RM4 juta disasarkan melalui BizFrancais Pernas manakala RM250,000 daripada usahawan UDA.
Program ini bukan sahaja membuka ruang pasaran kepada usahawan Bumiputera, malah memberi peluang untuk membina jaringan niaga, memperkenalkan jenama serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Ewon, berkata penganjuran karnival ini seiring aspirasi KUSKOP menyediakan ekosistem kondusif untuk pertumbuhan keusahawanan negara.
“Kolaborasi strategik antara UDA dan Pernas mencerminkan sinergi yang baik antara agensi KUSKOP dalam memperkasa pembangunan usahawan tempatan, bukan hanya di bandar utama, malah sehingga ke akar umbi,” katanya.
Sementara itu Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil, berkata, edisi keempat karnival ini selaras dengan prinsip penjenamaan UDA iaitu L.I.F.E. (Legacy, Integrated, Finesse, Enrich).

“Kami mahu setiap usaha memberi impak positif kepada komuniti serta menyokong pembangunan negara. Kerjasama bersama Pernas melalui ‘Blue Ocean Strategy’ turut memberi manfaat luas kepada masyarakat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Datuk Nor Azam M. Taib, menyifatkan kolaborasi ini mampu memperkukuh ekosistem francais, membuka peluang perniagaan baharu serta menjadi pemangkin pertumbuhan usahawan di pelbagai peringkat.
Karnival yang berlangsung tiga hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti 360 Franchise Pitch Perfect, 360 BizConnect, Franchise Frenzy dan pertandingan mewarna Kelab Nuri anjuran Bank Rakyat.
Selain itu, turut diadakan persembahan artis tempatan termasuk Jestie Alexius, Elica Paujin, Estranged, Dato’ Nash dan One Avenue Band serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal.

Sempena karnival ini, UDA menawarkan pakej promosi Neu Pendington bernilai RM1.08 juta dengan insentif kelengkapan rumah bernilai RM30,000 dan ganjaran tambahan RM3,000 bagi setiap tempahan unit sepanjang karnival.
UDA turut melancarkan kempen 68th Merdeka Deals bermula 1 Ogos hingga 30 September 2025 dengan tawaran baucar Panasonic bernilai RM68,000 serta kempen Refer & Cash-ing yang menawarkan ganjaran tunai sehingga RM5,000.
Dalam aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR), UDA Cares menyalurkan RM50,000 kepada 100 asnaf, lima usahawan asnaf serta tiga buah masjid sekitar Penampang.
Pernas pula menyumbang RM41,000 bagi menaik taraf fasiliti sekolah, gelanggang futsal komuniti serta bantuan kepada 30 asnaf.
Comments