top of page

Inisiatif Komuniti dan NGO Bina Asrama Cahaya Kasih Dapat Sokongan ADUN Kundasang

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 15
  • 2 min read
Dr. Joachim (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada Rudi ketika melawat Asrama Cahaya Kasih itu.
Dr. Joachim (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada Rudi ketika melawat Asrama Cahaya Kasih itu.

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam turun padang meninjau Asrama Cahaya Kasih yang masih belum siap sepenuhnya di Kampung Malinsau Darat, di sini.


Lawatan itu bagi memantau kemajuan projek asrama komuniti berkenaan serta mengenal pasti bentuk sumbangan yang boleh diberikan oleh Kerajaan atau Pejabat ADUN Kundasang.


“Kita akan lihat apa yang perlu disumbangkan, sama ada daripada Kerajaan atau khususnya menerusi Pejabat ADUN Kundasang. Nanti kita akan bincang apa lagi bantuan yang boleh diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.


Asrama yang mampu menempatkan kira-kira 20 murid pada satu masa itu dibina menggunakan dana daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Gereja-Gereja Sabah.


Inisiatif tersebut digerakkan oleh penduduk Kampung Malinsau Darat bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gabungan bagi membantu murid yang tinggal jauh untuk meneruskan persekolahan.


Projek bernilai kira-kira RM230,000 itu turut menerima sumbangan tanah yang diwakafkan oleh penduduk setempat yang prihatin terhadap kesukaran ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kerana jarak yang jauh.


Pengerusi projek, Rudi Burain yang juga Guru Besar SK Sri Gabungan, berterima kasih atas kesudian Dr. Joachim melawat dan meninjau sendiri keperluan asrama tersebut bagi mempercepatkan persiapannya.


“Kami dalam komuniti ini sepakat membina asrama dengan bantuan NGO, khususnya gereja-gereja di seluruh Sabah. Setakat ini, kemajuan pembinaan sudah mencecah 90 peratus, tetapi masih ada beberapa peralatan yang perlu disediakan sebelum ia boleh beroperasi.


“Dengan bantuan Datuk Seri Dr. Joachim, kami percaya asrama ini dapat digunakan dalam masa terdekat. Murid-murid di sini bukan sahaja akan mendapat kemudahan penginapan, malah pelbagai aktiviti akademik dan kerohanian akan dilaksanakan,” katanya.


Turut hadir dalam lawatan itu ialah Setiausaha Politik Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Pengerusi JPKK Kampung Nasakot Malinsau Darat, Patrick Gundalam serta beberapa pemimpin setempat.


Ends

Comments


bottom of page