top of page

Guna logo sendiri dekat di hati pengundi

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 28
  • 2 min read
Suzie (kiri) dan Bryan menyokong penuh penggunaan logo UPKO dalam PRN Sabah.
Suzie (kiri) dan Bryan menyokong penuh penggunaan logo UPKO dalam PRN Sabah.

28 Ogos 2025


PENAMPANG: Cadangan agar Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah mendapat sokongan pelbagai pihak.


Mereka menyifatkan ia mampu memperkukuh identiti parti tempatan iaitu UPKO sebagai antara parti tempatan tertua di Sabah dan mengurangkan kekeliruan pengundi.


Setiausaha UPKO Bahagian Penampang, Bryan Matasing berkata, imej Gunung Kinabalu dalam logo UPKO sudah sinonim dengan perjuangan parti dan lebih dekat di hati rakyat Sabah, terutama di kawasan yang majoritinya masyarakat Kadazandusun


“Walaupun kita salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) tetapi ia tidak menghalang kita menentukan hala tuju perjuangan UPKO sendiri.


“UPKO bukan sekadar pengikut tetapi rakan strategik dalam gabungan dan matlamat kita adalah untuk memastikan suara rakyat Sabah terus didengar dan kepentingannya diutamakan.


“Parti UPKO adalah satu-satunya parti tempatan Sabah dalam PH dan mewakili Sabah atau mewakili suara masyarakat Kadazandusun dalam peringkat persekutuan, sebab itu hubungan kita dengan parti-parti komponen PH tetap kukuh,” katanya katanya ketika mengulas cadangan UPKO Tenom baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Ketua Latihan Cawangan (CLC) UPKO DUN N6 Bandau, Suzie Salapan, menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan agar UPKO menggunakan logo sendiri pada PRN17.


Beliau berkata, ini selari dengan sentimen politik semasa di Sabah yang memerlukan penekanan kepada identiti tempatan berbanding pengaruh parti gabungan nasional.


“PRN berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU). Dalam PRU, isu utama ialah kestabilan kerajaan pusat, pemilihan Perdana Menteri dan dasar nasional. Pengundi mahu parti Sabah yang boleh membawa suara mereka ke Putrajaya, jadi logo gabungan seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih relevan,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, PRN lebih memfokuskan isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, tanah adat, peluang belia, pendidikan, kos sara hidup, dan hak Sabah.


“Dalam PRN, pengundi lebih mengutamakan calon dan parti yang faham masalah harian mereka. Sentimen anti ‘parti Malaya’ lebih ketara kerana pengundi melihat PRN hanya berkaitan Sabah, bukan tentang siapa yang jadi Perdana Menteri,” katanya.


Suzie berkata, penggunaan logo tempatan seperti logo UPKO mampu memberikan kelebihan kepada parti kerana ia cepat dikenali dan dekat di hati rakyat.


“Ia juga menjawab tohmahan bahawa UPKO adalah ‘tali barut Malaya’. Dengan logo sendiri, UPKO menghantar mesej jelas bahawa parti ini berani berdiri atas kekuatan sendiri walaupun berada dalam gabungan PH,” katanya.


Tambahnya, strategi ini penting untuk memperkukuh jenama UPKO di Sabah dalam jangka panjang.


“PRN adalah peluang terbaik untuk menonjolkan identiti UPKO sebagai parti asli Sabah. Logo gabungan lebih sesuai untuk PRU kerana fokusnya ke pusat, tetapi dalam PRN, ia boleh menjadi beban kerana ditafsir sebagai lambang parti Semenanjung,” katanya.


Beliau menegaskan, gabungan politik tetap penting di peringkat nasional, tetapi untuk PRN, identiti lokal adalah kunci memenangi hati pengundi.


“Ketika ini sentimen tolak parti Malaya sangat kuat. Jika UPKO tampil dengan logo sendiri, mesej yang disampaikan ialah UPKO ada prinsip, ada keberanian, dan mampu berdiri di atas kekuatan sendiri walaupun sebahagian daripada PH,” katanya.


Sebelum ini, Ketua Penerangan UPKO Tenom, Judis Nasir menegaskan bahawa penggunaan logo sendiri mencerminkan kematangan dan daya saing parti, selain membuktikan UPKO bukan sekadar bergantung pada payung politik gabungan.

Comments


bottom of page