Fiesta Rakan Muda platform Latih Disiplin , Setiakawan Generasi Muda
- Daily Insight
- Sep 12
- 2 min read

KOTA KINABALU: Fiesta Rakan Muda dan Pertandingan Kawad Kaki Rakan Mahir Negeri Sabah menjadi wadah penting melatih disiplin, memupuk kreativiti serta memperkukuh semangat setiakawan dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mohd Fadzli Abd Rozan berkata, Fiesta berkenaan menghimpunkan johan-johan pertandingan peringkat bahagian serta juara kawad kaki peringkat negeri dari seluruh Sabah.
"Pertandingan ini bukan sekadar pentas persaingan, tetapi platform melatih disiplin, memupuk kreativiti, mengasah bakat, dan memupuk semangat setiakawan dalam kalangan generasi muda. Semoga wakil kita ke Peringkat Kebangsaan nanti pulang dengan kejayaan cemerlang.
"Saya berbangga kerana peserta yang hadir pada hari ini merupakan johan-johan pertandingan peringkat bahagian serta johan pertandingan kawad kaki peringkat Negeri dari seluruh negeri Sabah.

"Semoga acara sebegini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi demi melahirkan generasi belia Sabah yang lebih kreatif, berdisiplin, dan berdaya saing, "katanya ketika berucap merasmikan Majlis Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sabah & Pertandingan Kawad Kaki Rakan Mahir Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, di sini pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja keras, pengorbanan masa, dan dedikasi para peserta, jurulatih, guru pengiring, serta sokongan keluarga dan sekolah masing-masing.
Menurutnya lagi, hubungan strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah amatlah penting untuk membina generasi muda yang berdaya saing.
"Saya berharap kerjasama ini dapat dikekalkan dan diperkukuhkan, sekali gus menjadikan program ini acara tahunan yang dinanti-nantikan pada masa hadapan.
"Kita akan berusaha bersama, harapannya pada tahun hadapan kita rancang ianya akan bermula dari peringkat Daerah, Bahagian dan seterusnya ke Peringkat Negeri secara bersemuka sepenuhnya dengan lebih kemas dan teratur," ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Metchella Febryanna Metha berkata, Fiesta Rakan Muda ini dianjurkan sebagai platform pembangunan belia secara menyeluruh bukan sekadar hiburan dan riadah.
"Ia bukan sekadar ruang untuk hiburan dan riadah, tetapi lebih penting menjadi wahana bagi melahirkan belia berdaya tahan, beridentiti nasional, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
"Program ini juga memberi peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat dalam pelbagai bidang termasuk kesenian, kebudayaan, inovasi, sukan, keusahawanan serta kepimpinan.
"Justeru, Fiesta Rakan Muda ini seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa Rakan Muda Baharu yang berteraskan sembilan gaya hidup belia," jelas beliau.
Tiga pertandingan utama turut diadakan sempena Fiesta Rakan Muda iaitu Pertandingan Kawad Kaki Rakan Mahir, Pertandingan Doodle Art bagi Rakan Ekspresi, dan Pertandingan Rekacipta daripada Bahan Terbuang bagi kategori Rakan Bumi.
Turut hadir, Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah, Noorman Ramlan serta Penolong Pengarah Unit Kokurikulum Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan negeri Sabah, Ramlah Ramli./Penerangan
Comments