top of page

Ewon seru usahawan ceburi sektor francais

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 17
  • 1 min read

ree

17 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyeru lebih ramai usahawan tempatan khususnya di Sabah menceburi sektor francais yang berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


Beliau berkata, setakat ini, lima syarikat tempatan Sabah telah menerima sijil francais.


“Saya berharap lebih ramai usahawan tempatan menceburi sektor ini,” katanya selepas mengunjungi outlet francaisor Fook Yuen Cafe & Bakery di Inanam serta perusahaan licensee Packaging Mart di Putatan, hari ini.


Fook Yuen Cafe & Bakery, yang diusahakan oleh Lo Tze Jet, menerima sijil pendaftaran francais pada Karnival UDA Bersama BizFrancais PERNAS, kelmarin (Sabtu).

ree

Setakat ini, Fook Yuen Cafe & Bakery mempunyai tujuh cawangan yang beroperasi di seluruh Sabah.


“Saya mengalu-alukan hasrat Fook Yuen untuk melebarkan perniagaan ke Semenanjung dan menyertai ekspo francais di luar negara yang akan diselaraskan oleh kementerian saya,” katanya.


Pada hari yang sama, Ewon turut mengunjungi premis Packaging Mart di Putatan yang diusahakan oleh usahawan wanita, Deana Mojigoh.


Syarikat itu menerima pembiayaan sebanyak RM250,000 daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), agensi KUSKOP di bawah Program Successful Woman Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET).

ree

“Saya berbangga melihat ramai usahawan negara menceburi bidang franchisor/franchisee dan licensor/licensee.


“Saya berharap kejayaan Fook Yuen Cafe dan saudari Deana boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada usahawan-usahawan Sabah yang lain,” katanya.


Ewon berkata, KUSKOP bersama PERNAS akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan merancakkan lagi pembangunan sektor francais di seluruh negara.


Turut serta dalam lawatan itu Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Saidatu Akhma Hassan, Pengerusi PERNAS Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli, Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS Datuk Nor Azam M.Taib dan wakil-wakil agensi KUSKOP.

ree

Comments


bottom of page