top of page

Ewon saran komuniti bangunkan eko pelancongan dan pertanian melalui gerakan koperasi

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 23
  • 2 min read
ree

23 Ogos 2025


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menggesa komuniti luar bandar memanfaatkan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan dan pertanian.


Beliau berkata, koperasi adalah platform terbaik untuk menggerakkan keusahawanan desa, selain membolehkan komuniti setempat bersaing dengan syarikat besar menerusi sokongan, bantuan dan galakan kerajaan.


“Kita mempunyai lebih 16,000 koperasi di seluruh negara, termasuk hampir 2,000 koperasi di Sabah, dengan enam daripadanya tersenarai dalam Liga Premier Koperasi.


“Ini membuktikan koperasi di Sabah juga mampu bersaing jika diberikan peluang dan sokongan sewajarnya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Keluarga dan Projek Pembangunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad, di sini, hari ini.

Ewon bersama pegawai SKM bergambar bersama anggota-anggota koperasi.
Ewon bersama pegawai SKM bergambar bersama anggota-anggota koperasi.

Ewon berkata, selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau mengunjungi koperasi tersebut dan meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk pelbagai pembangunan.


“Sebanyak RM80,000 disalurkan melalui bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bagi menaik taraf jambatan titian, membina laluan pejalan kaki konkrit dan pintu gerbang koperasi.


“Manakala RM20,000 di bawah Program Dagang Produk/Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat) digunakan bagi penyediaan laman e-dagang dan bahan promosi produk pelancongan koperasi secara digital,” katanya.

Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.
Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk kampung yang hadir pada majlis itu.

Beliau turut memuji usaha Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang yang mengetengahkan aktiviti riadah sungai dan pemuliharaan ikan berasaskan tagal sebagai tarikan utama pelancongan komuniti.


“Saya berbangga dengan inisiatif penduduk kampung ini menggerakkan keusahawanan desa dan membangunkan potensi ekonomi melalui koperasi.


“Saya berharap koperasi ini terus maju dan menjadi inspirasi kepada koperasi lain,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperkenalkan program Jejak Koperasi sebagai persediaan memperkukuh koperasi sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


“Di Kadamaian, kita memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan pertanian agar kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan utama selain Ranau.


“Sebahagian Gunung Kinabalu terletak di Kadamaian dan kita mahu pelancong yang mendakinya singgah di sini,” katanya.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.
Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pelbagai projek infrastruktur sedang dinaik taraf sebagai sebahagian agenda pembangunan pelancongan Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Podos, jambatan Melangkap dan beberapa laluan utama lain.


Selain itu, katanya, Program Penyukatan Tanah PANTAS yang dimulakan di Kampung Kiau dan Kampung Sayap akan diperluaskan ke beberapa kampung lain di Kadamaian bagi memudahkan pembangunan tanah dan akses pembiayaan bagi sektor pelancongan serta pertanian.

Comments


bottom of page