Ewon sampaikan peruntukan RM150,000 bina Mini Astaka dan pembangunan Gereja SIB Kg Nahaba
- Daily Insight
- Aug 26
- 2 min read

26 Ogos 2025
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyampaikan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi pembinaan Mini Astaka Padang Kg.Nahaba dan pembangunan Gereja SIB Kg.Nahaba.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, daripada jumlah itu, RM100,000 disalurkan untuk pembinaan Mini Astaka baharu di padang kampung berkenaan, manakala RM50,000 lagi bagi memenuhi keperluan pembangunan gereja.
Beliau berkata, peruntukan RM100,000 tersebut adalah daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan, manakala RM50,000 adalah sumbangan daripada peruntukan ADUN Kadamaian.
“Padang Kg Nahaba merupakan antara padang paling aktif digunakan di Kadamaian, termasuk untuk penganjuran Kejohanan Bola Sepak NATESA yang telah lama diadakan.

“Saya berharap kemudahan astaka baharu ini dapat memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar, termasuk premis Tamu Desa yang dibangunkan melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja meninjau tapak pembinaan Mini Astaka dan kemudahan Gereja SIB Kg Nahaba, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Ewon turut meninjau hasil pelaksanaan peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebelum ini serta menyampaikan peruntukan tambahan RM50,000 untuk melengkapkan kemudahan gereja berkenaan.
“Saya berharap pembangunan ini memberi keselesaan kepada para jemaat apabila siap sepenuhnya nanti,” katanya.

Selain itu, beliau turut meninjau kerja-kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan pam air bawah tanah sedalam 90 meter yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM) bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada penduduk kampung, khususnya pada musim kemarau.
Selesai lawatan di Kg Nahaba, Ewon turut singgah meninjau pembinaan pembesaran Gereja SIB Kg Tegudon dan menyampaikan peruntukan ADUN Kadamaian sebanyak RM10,000 bagi membina konkrit lantai tapak tambahan gereja yang sedang dibina.

Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan peruntukan ADUN sebanyak RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Tegudon bagi membaik pulih kerosakan jambatan gantung kampung tersebut.
Comments