Ewon mahu 50 rumah SMJ di Kadamaian siap tahun ini
- Daily Insight
- Mar 28
- 2 min read

KOTA BELUD (28 Mac 2026): Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, mahu semua 50 unit Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian disiapkan tahun ini bagi memberi keselesaan kepada keluarga yang memerlukan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, hasil tinjauan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian mendapati semua keluarga yang memohon layak menerima bantuan.
Katanya, terdapat pemohon yang berdaftar dalam e-Kasih, selain ada yang kehilangan rumah akibat kebakaran dan bencana alam seperti tanah runtuh.
“Ada juga keluarga yang tinggal bersama adik-beradik yang masing-masing sudah berkeluarga, dengan jumlah keseluruhan 22 orang dalam sebuah rumah kecil.
“Keadaan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak bagi penyediaan rumah SMJ kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah pemohon di Kampung Lasou Minunsud, Kampung Lasou Podi dan Kampung Wani, Mukim Lasau, Kadamaian, kelmarin.
Ewon berkata, pendekatan turun padang dilaksanakan bagi menilai sendiri permohonan serta memastikan bantuan diberikan secara telus kepada mereka yang layak.
“Banyak permohonan diterima di setiap kampung, tetapi kita akan pastikan sekurang-kurangnya satu keluarga yang benar-benar layak di setiap kampung menerima rumah SMJ,” katanya.
Menurutnya lagi, antara kriteria utama pemilihan termasuk keluarga berdaftar dalam e-Kasih, mempunyai ahli keluarga orang kelainan upaya (OKU), mangsa bencana serta mereka yang tinggal dalam keadaan sesak atau rumah uzur.
Selain itu, katanya, sebanyak 10 unit daripada kuota tahun ini diperuntukkan kepada pasangan baharu berkahwin sebagai inisiatif baharu kerajaan negeri.
Ewon berkata, keperluan rumah SMJ di Kadamaian adalah tinggi berbanding kawasan lain, khususnya melibatkan pembinaan rumah di atas tanah sendiri.
Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan permohonan tambahan kepada kerajaan negeri selepas semua kuota sedia ada disiapkan.
Beliau berharap bantuan rumah SMJ dapat memberi keselesaan kepada para penerima, khususnya menyediakan ruang yang lebih baik untuk pembelajaran anak-anak serta membolehkan keluarga membina kehidupan yang lebih stabil.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Mukim Lasau antara kawasan terbesar di Kadamaian yang memerlukan perhatian dari segi pembangunan termasuk kemudahan infrastruktur, pertanian dan pemilikan tanah di bawah program PANTAS.
Katanya, pelbagai kemudahan telah disediakan termasuk pembinaan dewan komuniti dan jalan konkrit, namun usaha pembangunan akan terus diperkukuh.
“Saya memberi jaminan tiada mukim yang akan dipinggirkan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian,” katanya.



Comments