top of page

Ewon hargai inisiatif komuniti kampung sambut Hari Kebangsaan dengan program kesihatan dan sukan

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 30
  • 2 min read
ree

30 Ogos 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, memuji inisiatif komuniti kampung atas kejayaan menganjurkan pelbagai program kesihatan dan sukan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, usaha masyarakat akar umbi menganjurkan program seperti Karnival Kesihatan dan Pertandingan Dart Sempena Hari Kebangsaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.


“Program seperti ini memberi peluang kepada komuniti untuk memupuk semangat perpaduan, selain mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga kesihatan tubuh, pemikiran, tingkah laku dan rohani dalam kehidupan berkomuniti,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Karnival Kesihatan anjuran Persekutuan Muda Mudi (PMM) SIB Pinasang Tamu Darat di Kampung Tamu Darat dan Pertandingan Dart Sempena Hari Kebangsaan di Tunga Unga Eco-Tourism, Kampung Ratau, di sini, hari ini.


Pelbagai aktiviti disusun sempena Karnival Kesihatan termasuk saringan kesihatan, kempen derma darah, Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), serta jualan produk usahawan tempatan.

ree

Ewon sendiri menderma darah untuk Tabung Darah Hospital Kota Belud dan menyampaikan sumbangan pembiayaan saringan kesihatan kepada 200 penduduk yang hadir.


Dalam kunjungan ke Gereja SIB Pinasang Tamu Darat, beliau menyampaikan peruntukan ADUN berjumlah RM19,400 bagi melengkapkan kemudahan di pejabat PMM gereja tersebut.


Selesai program di Tamu Darat, Ewon meneruskan lawatan ke Pertandingan Dart ldi Tunga Unga Eco-Tourism, Kampung Ratau.

ree

Beliau mengulangi komitmennya untuk terus memberi sokongan penganjuran sukan termasuk pertandingan Dart.


“Melalui program ini, kita dapat memupuk semangat perpaduan dikalangan penduduk kampung.


“Walaupun hanya satu pasukan meraih piala johan, semua peserta membawa pulang piala perpaduan dan persahabatan yang terbina melalui penyertaan mereka dalam pertandingan ini,” katanya.

ree

Ewon berharap sambutan Hari Kebangsaan terus disemarakkan dengan pelbagai program komuniti yang menggalakkan gaya hidup sihat, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Kadamaian.

Comments


bottom of page