Elak Pertikaian Tanah, Penduduk Sepulut Perkemas Sempadan Kampung
- Daily Insight
- Aug 14
- 1 min read

NABAWAN: Penduduk lima kampung di Mukim Sepulut iaitu Kampung Bigor, Tonomon, Bukokoh, Kukuamas dan Simatuoh bergotong-royong membersihkan sempadan kampung bagi memastikan kawasan kekal teratur dan bebas daripada pertikaian pada masa hadapan.
Program gotong-royong itu turut disertai Ketua Kampung Bigor, Tinus Andiros; Ketua Kampung Tonomon, Okon Andasam; serta beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis perasmian pembersihan sempadan disempurnakan Ketua Daerah Nabawan, Ulin Datuk Pamiang ASDK, dengan kehadiran Ketua Anak Negeri Mukim Sepulut, Louis Palanok @ Anddy serta ketua-ketua adat tempatan.
Penduduk kampung, Rudey Asok berkata, persempadanan antara kampung amat penting bagi memastikan kehidupan masyarakat lebih tersusun.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang program ini,” katanya.
Penduduk dan pemimpin tempatan berharap persempadanan itu dijadikan panduan utama dalam permohonan tanah serta pelaksanaan sebarang aktiviti ekonomi pada masa hadapan.
Dokumen Pembahagian Kawasan Untuk Pertanian Bagi Kampung-Kampung bertarikh 7 Disember 1993 turut dirujuk sebagai asas persempadanan berkenaan.
Japily Unni dan Atui Labi @ Malasu menegaskan kepentingan menghormati persempadanan bagi mengelakkan pertikaian tanah.
“Permohonan tanah perlu berasaskan persempadanan ini,” kata mereka.
Sementara itu, Agustin Ampayong, Sinsos Tulangkou dan Asok Sarah @ Pusara mahu generasi akan datang berpandukan persempadanan sedia ada demi kebaikan bersama.
“Jabatan berkaitan wajar menjadikan persempadanan ini sebagai rujukan sebelum meluluskan permohonan tanah atau sebarang aktiviti ekonomi,” tegas mereka.
Dengan adanya persempadanan jelas, semua pihak diharap terus menghormatinya demi keharmonian masyarakat setempat.



Comments