top of page

Ekspo Francais Malaysia 2025 sasar nilai transaksi RM120 juta

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 44 minutes ago
  • 2 min read
ree

21 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Ekspo Francais Malaysia 2025 (FEM 2025), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai hari ini hingga Sabtu, menyasarkan nilai transaksi sebanyak RM120 juta, peningkatan 20 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.


Majlis pelancaran edisi kelapan FEM 2025 disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini.


FEM 2025 anjuran Malaysian Retail Chain Association (MRCA) disertai 400 syarikat pempamer dari dalam dan luar negara merentasi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan, runcit serta teknologi. Acara ini dijangka menarik kehadiran lebih 18,000 pengunjung.


Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menyokong inisiatif persatuan-persatuan seperti MRCA dalam menganjurkan ekspo seumpama ini.

ree

“Ini kerana ia boleh menyediakan peluang kepada usahawan dan bakal usahawan meneroka peluang baharu, memperluaskan rangkaian dan memperoleh perkhidmatan yang diperlukan termasuk pembiayaan, inovasi dan akses pasaran.


“KUKSOP akan menyediakan sokongan dari segi pembangunan dasar termasuk Dasar Francais Negara (DFN) 2030 yang telah dilancarkan sebelum ini, pembiayaan dan akses pasaran melalui agensi seperti PERNAS,” katanya ketika berucap merasmikan FEM 2025, di KLCC, hari ini.


Ewon menegaskan bahawa francais merupakan enjin pertumbuhan penting ekonomi negara dengan lebih 1,100 jenama berdaftar dan memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


“Perniagaan francais bukan sekadar model perniagaan, tetapi ia adalah pemacu utama ekonomi yang mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh PKS serta meluaskan jejak dagangan Malaysia di peringkat antarabangsa.

ree

“FEM 2025 menjadi platform penting untuk menghubungkan usahawan, francaisor dan pelabur,” katanya.


Ewon berkata, kerajaan melalui Dasar Francais Negara (DFN) 2030 berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau menjelang 2030, dengan sasaran 4,250 francais tempatan berdaftar dan lebih 2,000 cawangan francais di luar negara.


“KUSKOP akan terus memperkukuh dasar, pembiayaan dan akses pasaran, termasuk melalui Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sebagai rakan strategik industri,” katanya.

ree

Comments


bottom of page