'Cakap tidak serupa bikin', Sabah tidak akan lupa sejarah hitam hari ini - Madius
- Daily Insight
- 6 days ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Keputusan membenarkan Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan semakan kelayakan 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai satu tamparan hebat dan 'lembaran hitam' dalam lipatan sejarah perjuangan hak Wilayah itu.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan tersebut, malah melabelkan tindakan Kerajaan Persekutuan sebagai sikap 'cakap tidak serupa bikin'.
Beliau mengingatkan kembali jaminan terbuka yang pernah diberikan oleh Perdana Menteri sebelum ini, bahawa Kerajaan Pusat tidak akan merayu terhadap sebarang keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah berhubung tuntutan tersebut.
"Umum mengetahui kenyataan Perdana Menteri jelas dilaporkan sebelum ini iaitu kita tidak merayu keputusan 40 peratus hasil Sabah, muktamad.
"Malangnya, realiti yang berlaku di dewan mahkamah amat bertentangan dengan janji manis yang ditaburkan. Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Persekutuan telah memohon dan berjaya mendapatkan penangguhan (stay order).
"Kata tidak merayu, tetapi akhirnya merayu. Kenapa perlu ada dwistandard di antara kenyataan politik di hadapan rakyat Sabah dengan tindakan perundangan di mahkamah?" tegasnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Madius menyifatkan tindakan melengah-lengahkan kelulusan semakan kehakiman itu bukan sekadar satu penangguhan proses undang-undang, tetapi satu lagi bentuk penafian terhadap tanggungjawab kerajaan yang sudah sekian lama tertangguh.
“Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu agar dibayar oleh pihak Kerajaan Persekutuan kepada Sabah selepas tempoh rundingan 180 hari yang sepatutnya jatuh pada 15 April depan.
"Hak 40 Peratus ini adalah hak mutlak yang termaktub secara sah dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, serta selari dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," jelas beliau.
Justeru Presiden Kehormat UPKO ini turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera menarik balik sebarang tindakan perundangan yang menghalang pelaksanaan hak tersebut.
"Rakyat Sabah hari ini sudah cukup matang dan tidak lagi boleh dihidangkan dengan retorik politik semata-mata. Kepercayaan yang dikhianati pada hari ini akan terus terpahat dalam ingatan.
"Sabah tidak akan lupa sejarah hitam hari ini. Perjuangan ini belum dan tidak akan bernoktah di sini.
"Dan saya mahu memperingatkan dalam halaman 78, Buku Manifesto PH Kita Boleh pada PRU15 jelas tertera, 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗦𝗔𝗡𝗔𝗞𝗔𝗡 𝘀𝗲𝗽𝗲𝗿𝘁𝗶 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶𝗺𝗮𝗸𝘀𝘂𝗱𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗯𝗮𝗻𝘆𝗮𝗸 𝟰𝟬% 𝗵𝗮𝘀𝗶𝗹 𝘄𝗶𝗹𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝗱𝗶𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗱𝗮𝘀𝗮𝗿𝗸𝗮𝗻 𝗳𝗼𝗿𝗺𝘂𝗹𝗮 𝗮𝘀𝗮𝗹 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝗿𝗮 𝟭𝟭𝟮𝗖 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝘂𝗯𝘀𝗲𝗸𝘀𝘆𝗲𝗻 𝟮(𝟭) 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗜𝗩 𝗝𝗮𝗱𝘂𝗮𝗹 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗽𝘂𝗹𝘂𝗵 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗲𝗺𝗯𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝘂𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗵𝗮𝗹 𝗦𝗮𝗿𝗮𝘄𝗮𝗸, 𝗸𝗮𝗷𝗶𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗺𝘂𝗹𝗮 𝗵𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝗹𝗮𝗵 𝗱𝗶𝗯𝘂𝗮𝘁 𝘀𝗲𝗽𝗲𝗿𝘁𝗶 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗲𝗿𝘁𝗮𝗸𝗹𝘂𝗸 𝗱𝗶 𝗯𝗮𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗮𝗿𝗮 𝟭𝟭𝟮𝗗 𝗦𝗲𝗸𝘀𝘆𝗲𝗻 𝟯, 𝗶𝗮𝗶𝘁𝘂 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝗹𝗶𝗺𝗮 𝘁𝗮𝗵𝘂𝗻," tegas Madius lagi.



Comments