Bank Rakyat serah zakat keuntungan lebih RM1.7 juta kepada MUIS
- Daily Insight
- Sep 18
- 1 min read

KOTA KINABALU (18 Sept) : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, mengetuai rombongan Bank Rakyat mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Kunjungan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, pegawai-pegawai kanan Bank Rakyat serta wakil Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Dalam kunjungan tersebut, Bank Rakyat menyerahkan zakat keuntungan berjumlah lebih RM1.7 juta kepada MUIS, meningkat berbanding RM1.3 juta pada tahun sebelumnya.
Ewon berkata, peningkatan sumbangan zakat ini selaras dengan perkembangan positif Bank Rakyat.
“Saya yakin sumbangan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang seiring dengan pelbagai perancangan Bank Rakyat di negeri ini.

“Pada masa sama, saya mengajak rakyat Sabah menggunakan perkhidmatan Bank Rakyat kerana sebahagian keuntungannya dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk zakat dan bantuan lain,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Tun Musa atas sokongan terhadap usaha KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya dalam membangunkan keusahawanan serta koperasi di Sabah.
Bank Rakyat merupakan agensi pembiayaan keusahawanan dan peribadi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui usahawan dan koperasi di negara ini.
Comments