top of page

Bank Rakyat, PT Bathi Rakyat Abadi meterai MoU, perkasa kewangan patuh syariah di Indonesia

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 2 days ago
  • 2 min read

19 Ogos 2025


JAKARTA: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan PT Bathi Rakyat Abadi hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas rangkaian kerjasama dalam penyelesaian kewangan patuh Syariah, khususnya perkhidmatan Ar-Rahnu (pajak gadai Islam), selain menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan halal di Indonesia.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan erat serta aspirasi bersama Malaysia dan Indonesia dalam memperkasa komuniti, meluaskan keterangkuman kewangan, dan mengukuhkan gerakan koperasi merentasi sempadan.


“Kerjasama ini merupakan langkah bermakna dalam memperkukuh hubungan Malaysia–Indonesia.


“Saya berharap MoU ini tidak hanya setakat majlis pada hari ini, tetapi membuka lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada pelanggan di Indonesia, rakyat Indonesia di Malaysia, serta masyarakat Malaysia di Indonesia,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU di Hotel Mulia Senayan, Jakarta, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kerjasama itu selaras dengan hasrat memperluas jaringan kolaborasi bukan sahaja antara kerajaan, tetapi juga koperasi dengan koperasi, bank dengan bank, serta usahawan dengan usahawan di rantau Nusantara.


“Malaysia dan Indonesia diikat oleh persamaan mendalam dari segi budaya, sejarah dan aspirasi ekonomi. Sejak berdekad lamanya, gerakan koperasi kedua-dua negara menjadi wadah pemerkasaan sosial yang membolehkan komuniti mencapai kebebasan ekonomi melalui usaha kolektif,” katanya.


Ewon turut merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pihak dan menyifatkan MoU berkenaan sebagai detik bersejarah dalam memperkukuh kerjasama Malaysia–Indonesia serta memajukan sektor kewangan Islam di rantau ini.


Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata kerjasama strategik itu memperlihatkan aspirasi Bank Rakyat untuk mengembangkan jaringan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan dalam kewangan koperasi.


“Kerjasama ini membuka pelbagai peluang, khususnya dalam perkhidmatan Ar-Rahnu. Dengan kepakaran Rakyat Management Services (RMS) Sdn Bhd, Bank Rakyat akan memberi panduan mengenai operasi patuh Syariah, di samping menyokong pertumbuhan perniagaan halal.


“Inisiatif ini akan memastikan aliran kewangan lebih terjamin dan menggalakkan pembangunan yang mampan,” katanya.


Katanya lagi, Bank Rakyat kekal komited untuk memperkukuh hubungan koperasi antara Malaysia dan Indonesia.

Comments


bottom of page