top of page

Akta Koperasi Baharu Akan Bantu Koperasi Lebih Mampan dan Berdaya Saing

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Aug 13
  • 2 min read
ree

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502] dalam usaha memastikan sektor koperasi kekal relevan, responsif dan berdaya saing seiring perkembangan semasa.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penggubalan akta baharu ini penting kerana Akta Koperasi 1993 masih berasaskan kerangka perundangan awal gerakan koperasi negara yang diperkenalkan sejak tahun 1922 melalui Enakmen Syarikat Bekerjasama-sama 1922.


“Penyesuaian dasar dan undang-undang diperlukan bagi memastikan sektor koperasi mampu mengikuti perkembangan sosioekonomi, kemunculan teknologi baharu serta tuntutan tadbir urus yang berakauntabiliti. Akta baharu ini akan memperkukuh peranan pengawal selia dan membina koperasi yang lebih fleksibel, progresif dan berdaya saing,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, akta baharu itu juga selari dengan dapatan dua kajian yang dilaksanakan pada tahun 2023, iaitu Kajian Perundangan Berkaitan Koperasi dan Kajian Kekangan Koperasi Sebagai Entiti Perniagaan Dalam Konteks Perundangan.


Katanya lagi, pelaksanaan akta baharu ini akan memberi kesan positif kepada gerakan koperasi melalui beberapa langkah, antaranya:

• Memberi perlindungan dan penerangan lebih jelas mengenai hak anggota koperasi.

• Menambah baik peranan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dengan penekanan kepada kepimpinan responsif, kompeten dan beretika.

• Memperkasa kawal selia dan penguatkuasaan untuk memantau prestasi koperasi dengan lebih berkesan.

• Meningkatkan sumbangan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui pertumbuhan, inovasi dan peluasan aktiviti pelbagai sektor.

• Memperluas peranan koperasi dalam menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan komuniti dan menyokong agenda kesejahteraan rakyat.

• Membuka ruang liberalisasi perundangan bagi membolehkan koperasi memperluaskan aktiviti perniagaan selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Ewon berkata, setakat ini KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengadakan 23 sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk kementerian, kerajaan negeri, gerakan koperasi, ahli parlimen, dewan perniagaan dan institusi pengajian tinggi.


“Minggu ini, KUSKOP akan mengadakan bengkel untuk memurnikan draf akta sebelum dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. Saya berharap bacaan pertama akta ini dapat dibentangkan pada sesi Parlimen hujung tahun ini,” katanya.

Comments


bottom of page