top of page

14 JKKK dan persatuan di DUN Kadamaian terima RM1.32 juta peruntukan SejaTi MADANI

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Sep 2
  • 2 min read


ree

KOTA BELUD (2 Sept): Sebanyak 14 badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima peruntukan bejumlah RM1,329,000 di bawah inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi melaksanakan pelbagai projek ekonomi desa.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif Kerajaan Persekutuan itu merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui pemberian dana sehingga RM100,000.


“Di Kadamaian, setiap JKKK dan persatuan menerima peruntukan antara RM49,000 hingga RM100,000 untuk projek seperti pemprosesan baja ternakan, pembuatan kerepek, ternakan ayam pedaging dan ikan air tawar, penanaman cili fertigasi, pembuatan kraftangan, jahitan pakaian, agro-farm serta perkhidmatan urutan tradisional.


“Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg Purak Ogis, Kg Melangkap Noriou, Kg Podos, Kg Taginambur Jaya, Kg Tintapon, Kg Pangi, Kg Gensurai, Kg Kiau Nuluh, Kg Gandukut, Kg Mangkulat dan Kg Penampatan Wariu,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan projek SejaTi MADANI di enam buah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, tiga persatuan iaitu Persatuan Pembangunan Identiti Dusun Tindal Kota Belud, Persatuan Penduduk Kampung Piasau Kota Belud dan Persatuan Penduduk Kampung Gensurai juga terpilih menerima peruntukan SejaTi MADANI tersebut.


“Saya meluangkan masa sehari suntuk hari ini mengunjungi perusahaan-perusahaan ekonomi desa di tujuh buah kampung hari ini bersama dengan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Pejabat Adun Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian bagi meninjau pelaksanaan projek-projek ekonomi desa ini.


“Saya berbangga dengan inisiatif komuniti yang terus membangunkan ekonomi desa bersama-sama dan saya berharap ianya menjadi contoh kepada kampung-kampung yang lain.


“Saya juga gembira kerana Pengerusi-Pengerusi JKKK terus mengemukakan permohonan mereka selepas kita mengadakan taklimat pelaksanaan projek SejaTi MADANI pada awal tahun ini yang kini sedang dilaksanakan bagi kampung-kampung dan persatuan-persatuan yang telahpun menerima peruntukannya.


“Saya akan terus komited untuk membantu pembangunan ekonomi desa di Kadamaian, kemudahan infrastruktur serta penyukatan tanah yang menjadi pembolehubah atau game changer kepada aktiviti ekonomi desa di Kadamaian,” katanya.

Comments


bottom of page