113,282 Warga Asing Didaftar Dalam Sistem Pendataan Digital Berpusat
- Daily Insight
- Aug 14
- 2 min read

KOTA KINABALU: Seramai 113,282 warga asing berjaya didaftarkan dalam sistem pendataan digital berpusat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem tersebut dapat memudahkan pemantauan, pengesanan dan pengurusan data warga asing secara real time oleh Kerajaan Negeri Sabah.
"Aktiviti pendataan digital warga asing ini tidak ada kena mengena dengan isu kewarganegaraan ataupun isu pemberian status pemastautin tetap.
"Adapun pendataan digital warga asing ini adalah mereka yang berstatus warga asing dan bekerja di Sabah misalnya di ladang-ladang dan akan diperluaskan kepada sektor lain seperti pertanian, perkilangan, pembuatan, perlombongan, kuari dan sebagainya.
"Sistem ini merekodkan biometrik dan lengkap dari segi ketepatannya kerana foto dan cap jari juga diambil.
"Dalam mesyuarat hari ini, kita setuju untuk facilitate proses pendataan digital warga asing oleh Kerajaan Negeri Sabah maka kita moratoriumkan penguatkuasaan warga asing bagi tujuan memberi ruang kepada mereka untuk mendaftar di bawah inisiatif ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) Bilangan 1 Tahun 2025 di Bilik Mesyuarat Utama Menara Kinabalu, pada Khamis.
Saifuddin turut memaklumkan sebanyak 1,247 permohonan status kewarganegaraan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Induk Negeri Sabah.
"Mesyuarat ini adalah untuk meneliti kemudian mengangkat syor kepada satu-satu permohonan warganegara khusus di bawah peruntukan 15A Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 15A termasuklah anak tidak sah taraf, anak pusat jagaan, permohonan daripada ibu bapa yang tidak bertaraf warganegara.
"Jawatankuasa ini diwujudkan bagi mempercepatkan proses terhadap permohonan itu dan hasilnya pada hari ini, sebanyak 1,247 daripada lebih 2,000 permohonan telah diluluskan," ujarnya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin./Penerangan-
Comentarios