top of page

Wilson Gan Letak Harapan Besar Bawa Suara Akar Umbi Ke Peringkat Dasar, Jika Terpilih Ke AMT UPKO

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 26
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


PENAMPANG, 26 Julai – Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau, Wilson Gan, sebelum ini telah menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UPKO untuk penggal 2026–2029, sekali gus mengumumkan kesediaannya untuk membawa suara akar umbi ke peringkat pembuat dasar sekiranya diberi mandat oleh para perwakilan.


Beliau menegaskan bahawa keutamaan utamanya selepas dipilih nanti adalah untuk memastikan setiap suara daripada peringkat bawah menjadi teras dalam menentukan hala tuju parti, serta diperjuangkan secara berkesan dalam kerajaan bagi menghasilkan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


"Setiap komuniti berhak didengari dan setiap isu yang dihadapi rakyat perlu diberikan perhatian serta tindakan yang sewajarnya. Parti hanya akan terus diyakini sekiranya kekal dekat dengan denyut nadi rakyat," katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan borang kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti UPKO 2026, Datuk Philip Lasimbang.


Wilson menegaskan bahawa pencalonannya bukan sekadar tawaran diri, tetapi lahir daripada komitmen tulus untuk meneruskan khidmat bakti kepada parti dan rakyat dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab.


Beliau merancang untuk memperkukuh perpaduan dalam parti, mempererat hubungan dengan akar umbi, dan memastikan UPKO kekal relevan sebagai wadah perjuangan yang mengutamakan kepentingan rakyat.


Menurutnya, kekuatan sesebuah parti tidak hanya diukur melalui struktur kepimpinannya, sebaliknya bergantung kepada keupayaan mendengar, membina kesepakatan, dan menterjemahkan aspirasi masyarakat kepada tindakan nyata.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Bahagian UPKO yang mencalonkan beliau, serta mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan ahli UPKO Bahagian Keningau atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang proses pencalonan. Sokongan itu, katanya, menjadi suntikan semangat untuk terus berbakti.


Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh warga UPKO agar terus memperkukuh semangat kebersamaan menjelang pemilihan parti, sekali gus memperkasakan UPKO sebagai sebuah parti yang progresif, inklusif dan terus diyakini rakyat di Sabah.

Comments


bottom of page