Warisan Budaya Kiau Terus Hidup, Tarikan Pelancongan Komuniti
- Daily Insight
- Aug 16
- 6 min read

KOTA BELUD: 16 Ogos 2026 — Kampung Kiau Nuluh bukan sekadar mempunyai warisan budaya yang unik, malah kekayaan tradisi masyarakat Dusun Kiau terus diamalkan dan diwariskan kepada generasi muda, sekali gus menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan komuniti.
Gambaran itu dapat dilihat menerusi Penilaian Semula Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) apabila dua penilai, Dr Atsuko Niina dan Dr Zhang Yuanhal, dibawa menyusuri pelbagai elemen warisan masyarakat Dusun Kiau.
Perjalanan penilaian itu merangkumi sambutan budaya, Walai Mitapus, produk komuniti, pemprosesan padi, penyediaan kopi secara tradisi, pembuatan parang serta galeri yang mengetengahkan bahasa, adat dan kraftangan masyarakat setempat.
Apa yang ingin ditonjolkan komuniti bukan sekadar kepelbagaian budaya, tetapi hakikat bahawa warisan tersebut masih diamalkan dalam kehidupan harian, dipelajari generasi muda dan mempunyai nilai dalam pembangunan pelancongan komuniti.
Kampung Kiau mempunyai hubungan rapat dengan persekitaran tanah tinggi di kaki Gunung Kinabalu.
Beberapa teori mengenai asal nama Kiau turut direkodkan, termasuk kaitannya dengan mata air, burung kologiau dan tokoh Gombiau, yang mencerminkan hubungan masyarakat dengan alam, sejarah dan warisan budaya komuniti.

Dalam konteks KUGGp, elemen geologi, biodiversiti dan budaya tidak berdiri secara berasingan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Perjalanan penilai dimulakan dengan sambutan budaya yang diiringi bunyi gong, Togunggak, kalungan Rinongkitan dan tarian sambut tamu.
Bagi masyarakat Kiau, Tagung bukan sekadar muzik, tetapi menjadi simbol sejarah, perpaduan dan kesinambungan warisan yang terus diwariskan kepada generasi muda.
Ketua Kampung Kiau Nuluh, Joseph Gimbu, berkata perpaduan masyarakat menjadi asas kepada usaha memastikan kampung terus aman dan sejahtera.
“Nasihat saya kepada penduduk kampung, kita adalah satu rumpun yang besar. Saya mahu seluruh penduduk kampung mematuhi aturan yang ditetapkan supaya kita dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Ini selaras dengan visi untuk menjadikan kampung ini aman, sejahtera, melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan berdaya saing.”
Sambutan diteruskan dengan Tarian Sayau Kiau, Sumonggol dan Mogigol oleh Belia Dusun Kiau yang membawa nilai kesopanan, penghormatan, kesyukuran dan perpaduan komuniti.
Pengerusi Gompito, Duin Limundok, pula menekankan kepentingan kerjasama antara generasi terdahulu dan generasi muda dalam memastikan usaha komuniti terus bergerak.

“Harapan saya untuk setiap persatuan dan ahli Gompito adalah supaya kita dapat bekerjasama di setiap lapisan masyarakat, dari generasi terdahulu hinggalah kepada generasi muda, khususnya golongan belia.”
Perjalanan penilai kemudian diteruskan ke Walai Mitapus yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran, penyelidikan dan penerimaan pelawat.
Di situ, mereka diperkenalkan kepada Monogulu Walai atau Mamanggor Walai, iaitu upacara tradisi pemberkatan rumah masyarakat Dusun Kiau.
Dalam adat tersebut, rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ruang kehidupan yang perlu diberkati sebelum didiami.
Upacara dikendalikan Bobolian yang mengelilingi rumah sebanyak tujuh kali sambil melakukan mamajok bagi memohon perlindungan dan keberkatan.
Tradisi itu terus menjadi lambang identiti masyarakat Dusun Kiau walaupun cara hidup masyarakat berubah, selain mencerminkan hubungan manusia dengan alam semula jadi, kepercayaan dan kehidupan bermasyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Penilaian Semula UNESCO Kinabalu Global Geopark merangkap JKK Kampung Kiau Nuluh, Sokiong Sani, berkata aspek warisan budaya menjadi antara mesej utama yang ingin disampaikan kepada pihak penilai.
“Mesej utama yang ingin kami sampaikan kepada pihak penilai adalah untuk mengingatkan kita semua tentang kepentingan warisan budaya Dusun Kiau.”
Di Walai Mitapus, penilai turut melihat produk kampung yang merangkumi hasil pertanian, produk hiliran, kraftangan dan produk pelancongan.
Antara produk pertanian yang dipamerkan ialah Kopi Arabika Kiau, sambal berasaskan nenas, sayur-sayuran tanah tinggi dan buah-buahan bermusim.
Produk hiliran pula merangkumi madu kelulut, kopi Arabika yang telah diproses, lihing, tapai beras dan pelbagai produk makanan berasaskan hasil tempatan.
Produk kraftangan pula termasuk parang tradisional Kiau, pelbagai produk berasaskan tumbuhan dan cenderamata tempatan.
Bagi pelancongan, komuniti menawarkan homestay, pakej Community-Based Tourism, trek alam semula jadi, demonstrasi pembuatan parang, pengalaman memetik dan memproses kopi serta lawatan ke ladang kelulut termasuk aktiviti merasa madu.
Produk dan pengalaman itu memperlihatkan bagaimana pengetahuan tradisional masih mempunyai ruang dalam aktiviti komuniti, termasuk menerusi pengalaman pelancongan yang dikendalikan masyarakat sendiri.
Perjalanan penilai turut diteruskan dengan demonstrasi penyediaan beras melalui proses menumbuk padi, menampi dan meniri.
Padi merupakan tanaman utama masyarakat Dusun Kiau sejak dahulu lagi dan sebelum penggunaan mesin moden, keseluruhan proses pemprosesan padi dilakukan secara manual menggunakan peralatan tradisional seperti lesung, alu dan nyiru.
Proses menumbuk padi menggunakan lesung dan alu kayu bagi menanggalkan kulit padi memerlukan kemahiran serta kerjasama kerana setiap hayunan alu dilakukan secara bergilir-gilir mengikut rentak yang betul.
Proses itu turut mengajar nilai gotong-royong, kesabaran, ketelitian, kerjasama, kesyukuran dan menghargai hasil bumi.
Walaupun kebanyakan keluarga kini menggunakan mesin moden, demonstrasi tersebut masih diteruskan sebagai usaha memelihara warisan budaya tidak ketara, mendidik generasi muda dan memperkenalkan cara hidup tradisional kepada pelawat.
Satu lagi warisan yang terus dipelihara ialah Kopi Arabika Kampung Kiau.
Berdasarkan sejarah lisan, kopi itu diperkenalkan sekitar akhir 1950-an oleh mubaligh Katolik Belanda sebagai tanaman ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pada 1980-an, lebih 60 peratus penduduk Kampung Kiau Nuluh mengusahakan kopi Arabika sehingga menjadi sumber pendapatan utama dan identiti komuniti.
Bagaimanapun, kejatuhan harga pasaran menyebabkan perusahaan itu semakin merosot dan banyak ladang ditinggalkan.
Warisan kopi Kampung Kiau terus dipelihara oleh Gundohing Ginsos yang mengekalkan kebun kopi warisan keluarganya sebagai sebahagian daripada usaha komuniti memelihara warisan pertanian tempatan.
Sejak 2021, perusahaan kopi Arabika di Kampung Kiau kembali berkembang hasil kerjasama komuniti, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan sektor swasta.
Pelbagai inisiatif seperti latihan, bantuan peralatan pemprosesan, pembangunan produk hiliran dan pembukaan pasaran baharu menggalakkan penduduk mengusahakan semula kopi Arabika.
Kini, Kopi Arabika Kampung Kiau bukan sahaja menjadi produk pertanian, malah berkembang sebagai produk agropelancongan.
Di stesen berikutnya, penilai menyaksikan pembuatan parang atau Modsupu’ secara tradisi.
Tradisi pembuatan parang itu merupakan salah satu warisan budaya masyarakat Dusun di Kampung Kiau dan kemahiran menempa besi diwarisi secara turun-temurun sejak beberapa generasi.
Pada zaman dahulu, parang digunakan untuk membuka ladang, menjalankan aktiviti pertanian, membina rumah, memotong buluh dan kayu, memburu serta pelbagai kegunaan harian lain.
Walaupun penggunaan peralatan moden semakin meluas, beberapa tukang besi di Kampung Kiau masih meneruskan amalan Modsupu’ sebagai usaha memelihara warisan budaya.
Demonstrasi itu turut menjadi produk pelancongan komuniti dengan memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri proses menempa besi secara tradisional.
Perjalanan penilai kemudian diteruskan ke galeri yang mengetengahkan bahasa Dusun, adat dan istiadat, aktiviti masyarakat, Rinongkitan dan kraftangan.
Satu fakta yang diketengahkan ialah 99 peratus penduduk Kampung Kiau masih bertutur dalam bahasa Dusun Kiau.
Bahasa itu bukan sahaja digunakan untuk komunikasi harian, malah menjadi medium penyampaian adat, pantang larang, cerita rakyat, lagu tradisional dan pengetahuan tempatan.
Turut dipamerkan buku dokumentasi sejarah Kampung Kiau, sistem kehidupan tradisional, adat resam dan protokol memasuki hutan yang menjadi panduan masyarakat sejak dahulu.
Bagi anak muda, Ivy Grace Geofarry, pengamalan dan pembelajaran budaya perlu diteruskan supaya warisan tersebut kekal kepada generasi akan datang.
“Kita masih mengamalkan dan mempelajari budaya supaya adat dan budaya ini kekal hingga ke generasi akan datang. Atagak nopo boros, atagak no i tinaru.”
Galeri turut mempamerkan sistem adat, pantang larang dan boros puru yang menjadi asas kehidupan masyarakat Dusun Kiau sejak turun-temurun.
Masyarakat Dusun Kiau juga terkenal dengan penghasilan kraftangan menggunakan buluh, rotan, kayu dan tumbuhan hutan.
Antara hasil yang unik ialah Dalai, iaitu hiasan wanita Dusun Kiau yang dihasilkan daripada tumbuhan terpilih, manakala Baju Tradisi Rinongkitan Dusun Kiau turut dipamerkan sebagai salah satu identiti budaya utama komuniti.
Rinongkitan bukan sekadar pakaian tradisi, tetapi melambangkan identiti, sejarah, kreativiti, nilai budaya dan kearifan tempatan masyarakat Dusun Kiau.
Pada 2026, komuniti mencapai satu pencapaian penting menerusi penyerahan set pakaian tradisi Rinongkitan Dusun Kiau kepada Muzium Koisaan KDCA sebagai simbol pemuliharaan warisan komuniti.
Selepas menyusuri pelbagai stesen warisan, rombongan penilai turut menikmati makanan tradisi masyarakat Dusun Kiau.
Hidangan tradisional itu dihasilkan daripada hasil pertanian tempatan, sayur-sayuran tanah tinggi dan sumber semula jadi yang diperoleh, dengan setiap hidangan disediakan mengikut resipi warisan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Sesi makan tengah hari itu turut diserikan dengan persembahan komuniti Dusun Kiau, termasuk Lilihis, Manangon Tangon, Tongkungon dan muzik bambu.
Lilihis merupakan puisi tradisional berirama yang disampaikan dalam bentuk sajak atau nyanyian dan mengandungi kisah sejarah, pengalaman hidup, nasihat, adat resam serta nilai moral masyarakat.
Manangon Tangon pula merupakan tradisi bercerita secara lisan yang menjadi medium penting untuk menyampaikan sejarah, asal usul kampung, kisah kepahlawanan dan pengajaran kepada generasi muda.
Turut dipersembahkan legenda Huminodun, manakala Tongkungon dan muzik bambu memperlihatkan bagaimana buluh yang banyak terdapat di Kampung Kiau dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada kehidupan dan warisan masyarakat.
Rombongan turut berpeluang melawat Tamu Komuniti di padang kampung yang menghimpunkan hasil tanaman, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan kecil, hasil hutan, makanan tradisional dan kraftangan.
Kini, Tamu Komuniti menjadi platform yang menggabungkan aktiviti ekonomi, pemeliharaan budaya dan pengalaman pelancongan.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang membeli produk tempatan seperti kopi Arabika, madu kelulut dan kraftangan, malah dapat berinteraksi secara langsung dengan penduduk kampung.
Namun, kelangsungan warisan budaya tidak seharusnya bergantung kepada program atau acara tertentu sahaja.
Pengamal budaya, Wilson Tadius, berkata budaya perlu terus dikongsikan melalui pertuturan dan aktiviti harian.
“Jangan tunggu program seperti ini sahaja untuk berkongsi amalan budaya kepada orang luar. Sebaliknya, budaya perlu dikongsikan melalui pertuturan dan aktiviti harian.”
Beliau berkata penggunaan bahasa Dusun Kiau perlu diterapkan di rumah, manakala ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan bahasa, adat dan warisan terus diamalkan oleh generasi akan datang.
Keseluruhan perjalanan penilai di Kampung Kiau Nuluh memperlihatkan bahawa warisan budaya Dusun Kiau bukan sekadar persembahan yang disusun untuk satu sesi penilaian.
Sebaliknya, warisan itu masih dimainkan, dipelajari, dihasilkan, dinikmati dan dikongsi bersama dalam kehidupan komuniti.
Daripada bunyi gong dan tarian, adat rumah, hasil pertanian, kopi, kemahiran membuat parang, bahasa, makanan tradisi, warisan lisan, muzik buluh hingga Tamu Komuniti, semuanya menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Kiau.
Dalam masa sama, warisan berkenaan membuka ruang kepada pelancongan komuniti yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali budaya melalui pengalaman secara langsung.
Bagi masyarakat Kiau, itulah gambaran yang mahu disampaikan kepada pihak penilai — bahawa warisan budaya Dusun Kiau bukan sekadar untuk dipamerkan, tetapi masih hidup dalam masyarakat dan terus diwariskan kepada generasi seterusnya.



Comments