top of page

UPKO Keningau, ADUN Bingkor Sepakat Utamakan Kepentingan Rakyat

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 26
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KENINGAU, 26 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kewangan, Dato' Sr. Mohd Ishak Ayub, menerima kunjungan hormat daripada delegasi UPKO Bahagian Keningau pada 18 Julai lalu bagi membincangkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan DUN Bingkor dan daerah Keningau.


Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu mengukuhkan komitmen bersama antara pemimpin daripada latar politik berbeza untuk mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya dalam menangani isu infrastruktur, kesejahteraan komuniti dan keperluan semasa penduduk.


Ketua Bahagian UPKO Bingkor, Kennedy Datuk John Angian, yang mengetuai delegasi berkata, pendekatan dialog terbuka dan saling menghormati mampu mewujudkan persefahaman lebih erat dalam menangani cabaran masyarakat, selain melengkapkan usaha kerajaan membawa pembangunan menyeluruh dan inklusif.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Ishak atas kesudian meluangkan masa, sambil menyifatkan hubungan baik yang terjalin sebagai asas penting dalam membina persefahaman demi manfaat rakyat tanpa mengira fahaman politik.


Turut hadir dalam delegasi itu ialah Ketua Pemuda UPKO Keningau Jeffson Japrin, Wilson Gan Poi Tzen, Mountchessington Melvin @ Alfian, Sam Hamzani, Dabie Ujoh dan Aliudin Majid.

Comments


bottom of page