SME Corp. Malaysia terus perkasa PMKS, umum Dato’ Teng Chang Khim sebagai pengerusi baharu
- Daily Insight
- May 19
- 1 min read

KUALA LUMPUR, 19 Mei – SME Corp. Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Teng Chang Khim sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 18 Mei 2026. Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong.
Dato’ Teng Chang Khim merupakan lulusan Undang-undang dari Universiti London serta pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Perdana. Beliau juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang industri serta perniagaan.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Invest Selangor Berhad.
Bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Selangor itu turut berpengalaman dalam pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi tanggungjawabnya sebagai EXCO Selangor yang memegang portfolio Pelaburan, Industri Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan bagi tempoh 2014 hingga 2018 serta portfolio Industri dan Perdagangan dari 2018 hingga 2023. Beliau juga pernah menerajui portfolio Kerajaan Tempatan, R&D dan Pengangkutan Awam pada 2013 hingga 2014.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Informasi dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Naib Pengerusi Majlis Industri Halal Selangor serta Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).
SME Corp. Malaysia menyambut baik pelantikan tersebut dan kekal komited untuk terus memperkasakan PMKS di negara ini, khususnya menerusi agenda penskalaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pada masa sama, SME Corp. Malaysia turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Pengerusi, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok atas kepimpinan serta sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sejak 1 April 2023.



Comments