top of page

Kota Belud Tuan Rumah Mr. Sabah 2026, Sasar 100 Atlet

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 4 Jun: Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud akan menganjurkan Kejohanan Bina Badan dan Fizik Peringkat Negeri, Mr. Sabah 2026, pada 22 hingga 23 Ogos ini di Kadamaian Square, Taginambur.


Penasihat kejohanan, Jashlee Dayah, berkata kejohanan itu menyasarkan penyertaan kira-kira 100 atlet dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Menurut beliau, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah atau Labuan, selain individu yang telah menetap di Sabah atau Labuan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh pertandingan.


“Pendaftaran dibuka mulai 1 Jun hingga 10 Ogos 2026, jam 5 petang. Tiada penyertaan akan diterima selepas tarikh tutup yang ditetapkan,” katanya.


Beliau berkata, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi pendaftaran awal dari 1 hingga 30 Jun, manakala RM100 dikenakan bagi pendaftaran yang dibuat antara 1 Julai hingga 10 Ogos.


Jashlee berkata, kejohanan itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat, selain menjadi platform pemilihan atlet yang akan mewakili Sabah ke Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Kali Ke-55, Mr. Malaysia 2026, yang dijadual berlangsung di Alor Setar, Kedah, pada 8 hingga 12 Oktober depan.


Katanya, kejohanan berkenaan turut berperanan mencungkil bakat baharu dalam sukan bina badan dan fizik untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dalam acara Bodybuilding lelaki mengikut kelas berat badan, bermula daripada kategori 55 kilogram ke bawah hingga 90 kilogram ke atas. Turut dipertandingkan ialah kategori Master bagi peserta berusia 45 tahun ke atas serta kategori Junior bawah 21 tahun yang dibahagikan kepada kelas 70 kilogram ke bawah dan 70 kilogram ke atas.


Bagi acara Men’s Athletic Physique dan Men’s Athletic Sport, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan ketinggian iaitu 170 sentimeter ke bawah dan 170 sentimeter ke atas.


Untuk kategori wanita, pertandingan melibatkan acara Women’s Model Physique dan Women’s Bodybuilding.


Selain itu, kategori Champion of Champions serta Best Poser bagi lelaki dan wanita turut dipertandingkan bagi menambah kemeriahan kejohanan.


Dalam kunjungan hormat SBBA ke Pejabat Daerah Kota Belud semalam, Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton, menyambut baik penganjuran kejohanan tersebut dan bersetuju dilantik sebagai Pengerusi Penganjur I.


Mesyuarat penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berprestij itu.

Comments


bottom of page