SAANS Apin-Apin Berpotensi Jadi Pusat Pendidikan Budaya – Wilson Gan
- Daily Insight
- Jul 26
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KENINGAU, 26 Julai – Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Apin-Apin berpotensi menjadi pusat pendidikan kebudayaan bagi masyarakat setempat, kata Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau, Wilson Gan.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh pemeliharaan budaya dan warisan masyarakat Sabah menerusi peranan SAANS, khususnya di Apin-Apin yang majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Dusun Kujau.
Wilson berkata demikian selepas mengiringi Pengetua SAANS Apin-Apin, Alexius Paulus, mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin, di Pusat Khidmat Roger Chin di sini baru-baru ini.
Menurut Wilson, pertemuan itu bertujuan memperkenalkan visi dan hala tuju SAANS Apin-Apin serta mendapatkan sokongan terhadap usaha memperkasa pendidikan berasaskan adat dan budaya.
"Antara etnik Dusun utama di kawasan Apin-Apin ialah Dusun Kujau. Justeru, SAANS diharapkan menjadi wadah penting untuk mempertahankan dan memperkasakan budaya, tradisi serta bahasa masyarakat setempat. Sekolah ini juga mampu menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap identiti dan warisan budaya mereka," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemeliharaan warisan budaya tidak akan berjaya tanpa pendidikan yang sistematik dan berterusan.
"Tidak kira apa jua budaya, etnik atau bangsa, pemeliharaan warisan dan pendidikan merupakan kunci utama kepada kelangsungan sesuatu budaya. Jika generasi muda tidak dididik mengenai asal usul, bahasa, budaya dan tradisi mereka, warisan tersebut berisiko hilang ditelan peredaran zaman," ujarnya.
Wilson turut berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pengajian di New Zealand, dengan menyatakan bagaimana pendidikan mampu menghidupkan semula identiti sesuatu masyarakat.
Beliau memuji usaha pemimpin Māori yang berjaya mengembalikan penghargaan terhadap budaya mereka selepas sekian lama terpinggir.
Beliau berharap SAANS Apin-Apin bersama 44 lagi sekolah adat di seluruh Sabah yang mewakili pelbagai subetnik akan terus menjadi peneraju dalam usaha memelihara, memperkasakan dan mengangkat budaya serta tradisi negeri ini.
Turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Alvis Mun Yew Loo atas usaha mengatur pertemuan tersebut, Wilson mengingatkan bahawa warisan adalah identiti dan tanggungjawab memastikan kelestariannya terletak di bahu semua pihak.
"Warisan kita ialah identiti kita. Tanggungjawab memastikan warisan ini terus hidup bukan sahaja terletak pada generasi hari ini, malah merupakan amanah kepada generasi akan datang. Saya berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan semua pihak agar lebih ramai generasi muda Sabah dapat mengenali, menghargai dan berbangga dengan akar budaya mereka sendiri," katanya.



Comments